Isu DNAA Zahid Hamidi : Peguam Persoal Syor Peguam Negara


(Malaya Daily) – Peguam mempersoalkan dalam 3 tahun 5 bulan, tidak ada apa-apa syor untuk memberhenti atau menarik balik pertuduhan terhadap Zahid Hamidi sungguhpun dalam tempoh itu Malaysia telah bertukar dari Perdana Menteri 7 ke Perdana Menteri 8 sehingga ke Perdana Menteri 9 dan Peguam Negara bertukar dari Tommy Thomas ke Peguam Negara yang baru.

Hal ini disuarakan oleh Rafique Rashid, pengamal undang-undang yang melihat proses tersebut sebagai isyarat jelas bahawa ada usaha-usaha berterusan untuk Zahid Hamidi mendapat laluan mudah dalam sistem pendakwaan negara.

“Kes Zahid Hamidi sebenarnya bermula Julai 2018 dan sepertimana semua pihak tahu pada 23.1.2022 setelah 99 saksi pendakwaan, 53 hari perbicaraan pada tahap kes pendakwaan dalam tempoh 3 tahun 5 bulan, Zahid Hamidi dipanggil membela diri.

“Dalam tempoh Zahid Hamidi melalui kes pada tahap pendakwaan, Malaysia telah bertukar dari PM7 ke PM8 sehingga ke PM9 dan PN (Peguam Negara) bertukar dari Tommy Thomas ke PN yang baru.

“Dalam tempoh 3 tahun 5 bulan itu, langsung tiada apa-apa syor untuk memberhenti atau menarik balik pertuduhan terhadap Zahid Hamidi.

“Walau apapun kata PM (Perdana Menteri) serta penyokong-penyokong beliau, sebaik sahaja PM memilih Zahid Hamidi yang telah dipanggil bela diri sebagai TPM ianya merupakan isyarat jelas bahawa akan ada usaha-usaha berterusan untuk Zahid Hamidi mendapat laluan mudah dalam sistem pendakwaan negara. Ujar Rafique dalam satu kenyataan di laman sosial beliau, pada Khamis.

Dalam kenyataan yang sama, beliau menegaskan bahawa seperkara yang perlu difahami mengenai kebocoran memo pada 17 Oktober 2018 yang mana ianya tidak lagi terpakai apabila Hakim mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pada tahap prima facie terhadap Zahid Hamidi.

“Seperkara yang mesti kita semua fahami adalah mengenai memo bocor bertarikh 17.10.2018. Ianya tidak terpakai lagi sebaik sahaja Yang Arif Hakim mendapati Pendakwaan berjaya membuktikan kes pada tahap prima facie terhadap Zahid Hamidi.

“Dalam bahasa mudah, Yang Arif percaya kesemua ramuan pertuduhan mencukupi dan Zahid Hamidi perlu bela diri. Maka, memo dan kandungan memo itu tidak terpakai lagi.

Menurut Rafique, tarikh pelantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) amat penting kerana ia berlaku selepas Zahid di perintah membela diri.

“Tarikh pelantikan Zahid Hamidi sebagai TPM amat penting. Kerana ianya adalah selepas Zahid Hamidi dipanggil bela diri dan sedang dalam proses bela diri.

“Dalam ” 11 Alasan Mengapa DNAA dipohon” oleh AGC antara lainnya dinyatakan keperluan meneliti 4 surat Representasi yang diutus oleh peguambela Zahid Hamidi. Secara asasnya surat Representasi adalah permohonan oleh pembelaan kepada pendakwaan samada memohon tarik balik atau pengurangan kepada pertuduhan ataupun perbincangan mengenai pengurangan hukuman .

“Mahkamah tidak menjadi pihak dalam isu surat Representasi. Ianya antara pembelaan dan pendakwaan sahaja. Kata Rafique.

Rafique yang juga Ketua Penerangan parti Perjuang berkata, surat-surat Represantasi Zahid Hamidi bertarikh 08.12.2022, 25.1.2023, 28.2.2023 dan 7.3.2023, kesemuanya adalah selepas Zahid Hamidi berada dalam posisi sebagai TPM orang nombor 2 dalam Eksekutif.

“Walau apapun kata PM serta penyokong-penyokong beliau, sebaik sahaja PM memilih Zahid Hamidi yang telah dipanggil bela diri sebagai TPM ianya merupakan isyarat jelas bahawa akan ada usaha-usaha berterusan untuk Zahid Hamidi mendapat laluan mudah dalam sistem pendakwaan negara.

“Selagimana tiada pengesahan dari PN mengenai status siasatan yang dikatakan perlu dilalukan pada kertas siasatan Zahid Hamidi selagi itulah segala spekulasi akan bertiup. Ujar beliau.

Pada 4 September lalu, Selepas 77 hari dibicarakan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

 



Comments
Loading...