Lapor sekarang, kenapa tunggu selepas PRK?


“Kalau betul kita buat kesalahan, patutnya dilaporkan sekarang bukan tunggu selepas pilihan raya. Maksudnya kalau dia menang, tak ada masalah.

(Berita Harian) – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mencabar pemimpin Perikatan Nasional (PN) melaporkan kepada pihak berkuasa segera berhubung dakwaan jentera Pakatan Harapan (PH) ada menyogok dan menyalahgunakan jentera kerajaan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu berlangsung.

Beliau mempersoalkan mengapa pemimpin PN perlu menunggu sehingga selepas PRK untuk melaporkan perkara itu, sedangkan mereka boleh saja melaporkan sekarang kepada pihak berkuasa.

Dengan tindakan itu, beliau sifatkan pemimpin pembangkang bersikap aneh kerana dilihat suka menangguhkan laporan kepada pihak berwajib sedangkan mereka dakwa ada bukti PH melakukan kesalahan semasa berkempen.

“Kita menjalankan kempen kita ini dengan teratur, mengikut undang-undang. Kita memang tidak ada unsur rasuah. Jadi mana-mana pihak yang tak puas hati, dia boleh buat petisyen dan sebagainya sama ada lepas pilihan raya, itu adalah hak ataupun proses dalam undang-undang.

“Saya rasa ini agak aneh. Apa pun terpulang kepada mereka (PN). Saya rasa dia (PN) tak boleh menang dalam pilihan raya (tiba-tiba) dia nak cabar pula nanti dalam petisyen. Bagi kita, kita menjalankan kempen mengikut lunas undang-undang.

“Kalau betul kita buat kesalahan, patutnya dilaporkan sekarang bukan tunggu selepas pilihan raya. Maksudnya kalau dia menang, tak ada masalah. Kalau dia kata dia nak cabar. Jadi kalau ada mana-mana pihak tak berpuas hati, mereka boleh adukan kepada mana-mana pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sebuah akademi memandu dekat bandar Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.

Reaksi Loke itu sebagai menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menegaskan PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH memenangi DUN Kuala Kubu Bharu.

Takiyuddin mendakwa pihaknya mempunyai bukti berlakunya ‘penyaluran’ yang disifatkan sebagai rasuah, selain dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan dalam PRK ini.

Mengulas mengenai lawatannya ke sebuah akademi memandu di sini yang didakwa menyalahguna jentera kerajaan, Loke menjelaskan bahawa beliau dijemput oleh pihak akademi terbabit.

Selain itu, beliau terlebih dahulu bertanyakan hal itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum hadir ke akademi memandu berkenaan.

“Berhubung jemputan akademi (memandu) untuk datang ke sini, saya nak tegaskan program hari ini bahawa ia bukan anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT), bukan juga program JPJ tetapi program dianjurkan sendiri (Akademi Memandu) PS Samy.

“Saya dijemput hadir dalam program ini tetapi sebelum saya hadir, ada tanya JPJ Selangor… (Jemputan daripada Akademi Memandu) PS Samy ini jemput saya, (saya tanya) ada apa-apa kes atau tidak? Buat apa-apa salah atau tidak? Lesen memandu caj tinggi atau tidak?

“Saya tanya JPJ dulu sebab saya adalah menteri. Tetapi JPJ Selangor cakap saya boleh pergi (Akademi Memandu) PS Samy. Rekod (akademi memandu ini) cantik, tak ada apa-apa kes,” katanya.

Mengulas penggunaan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen, Loke menjelaskan beliau hadir ke program rasmi kerajaan pada awalnya sebelum ke Kuala Kubu Bharu bagi menghadiri majlis petang ini.

“Saya bukannya datang Kuala Kubu Bharu sepanjang hari. Tadi saya ada program rasmi di Kuala Lumpur. Jadi selepas program rasmi itu sudah tentu kenderaan, pemandu mengikut saya untuk bawa saya ke sini.

“Jadi saya rasa ini adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan, bukan menyalahgunakan. Jadi mana-mana pihak yang rasa ini sesuatu yang menyalahi apa-apa peraturan, boleh buat aduan kepada pihak berkuasa,” katanya.



Comments
Loading...