‘Sudah bersedia terima surat BERSATU, apapun terjadi tetap sokong kepimpinan PM’


“Apa yang kita langgar… mungkin ada kesalahan pada peringkat undang-undang kecil parti yang tertakluk bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Oleh itu, isu kekosongan kerusi sebagaimana BERSATU nyatakan atau uar-uarkan sebelum ini, sangat tidak berasas.

(Berita Harian) – Ahli Parlimen Gua Musang daripada BERSATU, Mohd Azizi Abu Naim mendakwa beliau tidak melompat parti, justeru tiada keperluan untuk mengosongkan kerusi itu yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau hingga kini juga tiada pernah membuat kenyataan untuk keluar BERSATU dan menyertai parti lain, sekali gus mendakwa tidak melanggar undang-undang antilompat parti, walaupun telah mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apa yang kita langgar… mungkin ada kesalahan pada peringkat undang-undang kecil parti yang tertakluk bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Oleh itu, isu kekosongan kerusi sebagaimana BERSATU nyatakan atau uar-uarkan sebelum ini, sangat tidak berasas.

“Pada saya, kita kena rasional dan profesional. Maksudnya, suatu pilihan raya kecil (PRK) berlaku setelah penyandang di suatu kerusi itu meninggal dunia, bankrap ataupun hilang kewarasan, hilang akal atau gila.

“Selain faktor itu, kita melihat dari segi undang-undang, apapun keputusannya Speaker (Dewan Rakyat) yang berhak menentukan. Apa yang dilakukan sebelum ini, kami sudah merujuk peguam dan kami tidak melanggar undang-undang antilompat parti,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, di sini, semalam.

Sebelum ini, Mohd Azizi bersama lima lagi Ahli Parlimen daripada BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang), turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Media semalam melaporkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata surat berkaitan status keahlian tujuh wakil rakyat berkenaan akan dihantar pada minggu depan selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu selesai.

Ketua Pembangkang itu dipetik menegaskan, BERSATU antara lain jelas dengan keputusan untuk menghentikan keahlian Suhaili yang menjadi antara wakil rakyatnya yang terawal mengumumkan sokongan kepada pentadbiran Anwar.

Mengulas lanjut, Mohd Azizi berkata, beliau bersama wakil rakyat lain yang terbabit sudah bersedia untuk menerima surat berkenaan.

“Kami akan tengok kandungan surat itu sama ada berbentuk tindakan atau teguran. Kami berenam (Ahli Parlimen terbabit) sudah membuat ketetapan rasmi bahawa apapun terjadi, kami tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan kami bersama dalam Ahli Parlimen kerajaan,” katanya.



Comments
Loading...