Zaid: Umno tidak serius mengenai pengampunan buat Najib


(Malaysiakini) – Peguam Zaid Ibrahim tampil membidas Umno kerana gagal meyakinkan orang ramai mengapa bekas perdana menteri Najib Razak layak mendapat pengampunan.

“Mereka tidak membuat sebarang usaha serius untuk mencadangkan pengampunan itu. Tiada perincian dikemukakan mengenai mengapa pengampunan itu wajar dan sesuai, serta apakah isu yang perlu diambil kira untuk pengampunan.

“Tiada apa-apa. Mereka cuma berjanji dengan ahli mereka akan melakukan segala-galanya untuk Najib.

“Sebab itu Umno tidak akan berjaya dalam pilihan raya akan datang. Ahli akan tanya apakah janji yang akan Umno berikan kali ini yang mereka akan tunaikan,” kata Zaid, yang merupakan ahli Umno dan pernah berkhidmat sebagai peguam Najib.

Zaid berkata tindakan pemimpin utama Umno adalah hanya dengan membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi alasan petisyen itu tidak pernah didedahkan.

Sebaliknya, kata Zaid, bekas presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjelaskan sebab untuk meringankan hukuman penjara 35 tahun ke atas Chelsea Manning, yang membocorkan rahsia ketenteraan.

“(Bekas presiden AS Gerald) Ford mengampuni (Richard) Nixon kerana dia mahukan perdamaian nasional. Dia menerima kongres adalah betul untuk mendakwa (Nixon) tetapi merasakan pengampunan perlu.

“(Bekas presiden Afrika Selatan Nelson) Mandela dan (FW) de Klerk memberikan pengampunan kepada mereka yang melakukan jenayah semasa apartheid untuk pembinaan semula negara,” ciap Zaid di akaun Twitternya.

Zaid menyentuh soal proses pengampunan itu ketika pendedahan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

Perkara itu didedahkan kepada Dewan Negara semalam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai menjawab soalan senator PH, Kesavadas A Achyuthan Nair.

Semasa peringkat rayuan, peguam pembelaan Najib telah banyak bergantung kepada cadangan supaya Nazlan tidak mendengar kes itu kerana dia didakwa mempunyai konflik kepentingan.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan menolak hujahan berkenaan, manakala Nazlan kini adalah hakim di Mahkamah Rayuan.

 



Comments
Loading...