Lagi pemimpin PAS dipanggil SPRM berkait dana RM90 juta


(Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini memanggil 2 lagi pemimpin PAS untuk memberi keterangan berkaitan dakwaan penerimaan dana RM90 juta daripada Umno.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin tiba di pejabat SPRM Perlis di Kangar untuk memberi keterangan dipercayai berkaitan siasatan dana tersebut.

Beliau yang berbaju Melayu hijau tiba kira-kira 9.45 pagi tadi.

Semalam, SPRM membekukan akaun bank serta merampas beberapa aset, termasuk kereta mewah disyaki milik pemimpin PAS berhubung siasatan dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Beberapa individu dipanggil SPRM sebelum ini untuk memberi keterangan berhubung siasatan itu, antaranya Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

SPRM memanggil Nik Abduh pada 8 Februari lalu.

Di Kota Bharu, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud hadir di pejabat SPRM Kelantan untuk diambil keterangan berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta itu.

Beliau tiba di pejabat SPRM pada 9.40 pagi tadi dan dilihat keluar lebih sejam kemudian.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu mengesahkan kehadirannya untuk membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan itu.

Nasir berkata, beliau memberi keterangan kepada 2 pegawai SPRM yang tidak meminta sebarang dokumen daripadanya.

“Saya telah menjawab segala soalan berkaitan bagi membantu siasatan.”

 



Comments
Loading...