7 petunjuk tentukan kemenangan PRK Kuala Kubu Bharu


(Berita Harian) – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan 11 Mei ini susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong bakal menyaksikan gelombang politik baharu cukup unik, sekali gus beberapa petunjuk wajar diberikan perhatian.

Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) ini yang pernah diwakili MCA pada 2008, mengalami perubahan ke arah konteks politik baharu pada 2013 hingga 2023 apabila dirampas dan dipertahankan DAP.

Apa yang unik pada demografi pengundi di DUN ini ialah pengundi Melayu merangkumi 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, kawasan ini menyaksikan pertandingan empat penjuru, iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

MUDA dan PRM sudah mula membawa retorik mereka dalam proses mendapatkan sokongan daripada pengundi di kawasan berkenaan.

Kedua, ramalan yang dapat dijangkakan ialah pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina kemungkinan besar akan lebih selesa dengan menyokong DAP susulan beberapa isu mutakhir ini.

Antara isu utama diperhatikan pengundi bukan Melayu adalah berkaitan 3R (agama, kaum dan Raja) yang semakin hangat di negara ini. Bukan hanya itu, beberapa isu sentimen juga akan dijadikan pertimbangan seperti pembukaan kantin pada Ramadan dan istilah kafir menjadi tanda tanya dalam pengundi Cina.

Namun, GERAKAN boleh memecahkan tembok untuk membawa calon Cina yang mewakili parti itu bagi menguji tahap penerimaan pengundi Cina.

Ketiga, pengundi India walaupun minoriti sebenarnya menjadi penyumbang sangat besar kepada PRK ini. Beberapa perkara menjadi isu utama kepada masyarakat terbabit dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan antaranya penempatan Unit Tranformasi India (MITRA) daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Perpaduan kemudian berubah kembali dan isu berkaitan penempatan tempat matrikulasi untuk pelajar India.

Malah, lebih banyak isu akar umbi yang masih menjadi tanda tanya kepada masyarakat India. Semua itu meningkatkan lagi risiko besar yang menyaksikan pengundi India akan keluar mengundi, tetapi memilih PN atau calon Bebas sebagai protes, selain tidak mustahil mengambil tindakan tidak keluar mengundi.

Keempat, pengundi Melayu akan menjadi penilai paling utama berdasarkan peratusan pengundi keluar mengundi pada PRN lalu yang sangat tinggi. Jangkaan isu besar membayangi perjalanan PRK ini ialah isu kalimah Allah pada stokin juga menjadi isu utama dan bagaimana Kerajaan Perpaduan menanganinya, penggunaan istilah kafir, logo kasut, kos sara hidup dan gaji.

Ini akan memberikan ruang dan peluang kepada pengundi Melayu bertindak secara demokrasi pada hari pengundian pada 11 Mei nanti.

Kelima, pemilihan calon di DUN oleh gabungan kedua-dua parti terbesar, iaitu PH-Barisan Nasional (BN) dan PN. Sehingga kini, masing-masing belum mendedahkan nama calon tetapi senarai calon komponen utama Kerajaan Perpaduan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, manakala PN telah sudah selesai perbincangan calon.

Berdasarkan jentera pilihan raya pula, PH-BN bakal dikemudi ADUN Kinrara merangkap Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han apabila dilantik sebagai Pengarah PRK, manakala PN mempertaruhkan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang juga Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Melihatkan kedua-dua pimpinan itu, Sze Han mempunyai kepemimpinan cukup baik sehingga dapat menawan DUN Kinrara dengan kemenangan besar, iaitu 71,290 undi dengan majoriti 54,535.

Beliau juga mempunyai gaya perwatakan kepemimpinan cukup inklusif hingga menewaskan calon PN, iaitu Wong Yong Kan daripada PN pada PRN lalu.

Keenam, faktor Mohamed Azmin yang walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, beliau kembali untuk menang bergaya pada PRN di DUN Hulu Kelang.

Rekod sebagai bekas Menteri Besar, kepemimpinan daripada PH 1.0 hingga kerajaan bersama PN, ditambah pengalaman luas akan menjadi faktor penting dalam konteks beliau mengetuai jentera PRK.

Apatah lagi, kita tidak boleh melupakan sejarah beliau juga begitu berkaliber dalam konteks kepemimpinan dan politik di negara ini.

Ketujuh, isu stoking dengan kalimah Allah dan kempen boikot kedai serbaneka yang digemparkan lagi dengan retorik Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh juga perlu diambil kira pada PRK ini kerana beliau boleh dianggap sebagai wira dalam menegaskan beberapa perkara berkaitan Islam.

Ini juga dapat dijadikan petunjuk untuk pengundi melihat sejauh manakah Kerajaan Perpaduan menangani isu ini dengan rasional supaya dapat memberikan kepercayaan kepada pengundi Melayu.

Realitinya, PRK Kuala Kubu Bharu menjadi medan ujian kepemimpinan Kerajaan Perpaduan, sekali gus kayu ukur kepada PN untuk melihat sejauh manakah penerimaan pengundi terhadap ‘gelombang hijau’ di kawasan berkenaan.

Namun, harus diingat pola pengundian pada PRK Kuala Kubu Bharu juga boleh berubah mengikut kapasiti jumlah pengundi yang keluar mengundi.

 



Comments
Loading...