Putrajaya kaji maksud sebenar ‘menghina’ sebelum gubal akta lebih ketat


(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan meneliti maksud tepat “menghina” sebelum memperkenalkan undang-undang lebih ketat untuk melindungi raja daripada kritikan, seperti diumumkan seorang menteri pagi tadi.

“Jadi, apa sebenarnya dianggap perkataan menghina,” kata perdana menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra, hari ini.

“Saya telah katakan bahawa di Malaysia, kita amalkan kebebasan bersuara dan itu harus dicakap dengan fakta, tidak boleh salah.

“Jika kita tutup mulut semua orang, apabila jenayah berlaku dan mereka tidak boleh bersuara, akan berlaku ketidakadilan.”

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata, kerajaan mungkin memperkenalkan undang-undang lebih ketat untuk melindungi raja daripada dikritik rakyat.

Ia selepas 3 individu ditahan polis di bawah Akta Hasutan kelmarin, atas dakwaan membuat kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V yang melepaskan jawatan Agong, Ahad lalu.

Ditanya kenapa Akta Hasutan masih digunakan terhadap mereka yang menghina kerabat diraja, Dr Mahathir berkata, tiada takrif sebenar menyebabkan pihak berkuasa tidak memahami perbuatan yang dianggap menghina.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara sejak Oktober lalu berhubung penggubalan akta baru, selain melakukan penambahbaikan terhadap undang-undang lain.

Mengenai laporan Wall Street Journal (WSJ) mendakwa pegawai China menawarkan bantuan menyelamatkan 1MDB dan cuba memujuk Amerika Syarikat serta negara lain menggugurkan penyiasatan rasuah ke atas dana pelaburan itu, Dr Mahathir berkata, buat masa ini, ia sekadar “cerita dalam media”.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengambil tindakan tanpa melihat dokumen itu.

“Mereka kata ada dokumen. Saya rasa mereka ada dokumen itu, tetapi sama ada dokumen boleh ditunjukkan kepada kami dan diberikan kepada kami, sebelum pernyataan boleh dibuat.

“Selagi itu, kita tak boleh ambil tindakan. Kita perlu cari dokumen itu dan menggunakannya dan membuktikan ini sebenarnya berlaku.”

Berhubung respons Kedutaan China di Kuala Lumpur yang menegaskan mereka tidak pernah mengenakan syarat politik untuk bekerjasama dengan negara lain, Dr Mahathir berkata, duta China boleh “kata apa beliau suka”.

“Komen mereka okey untuk kita. Kita perlu mengetahui apa sebenarnya berlaku sebelum kita buat sebarang kenyataan.

Jho Low dakwa laporan WSJ bermotifkan politik

Dr Mahathir berkata, ahli perniagaan itu sudah banyak kali membut kenyataan sama sebelum ini dan beliau memberi jaminan kerajaan pihak berkuasa akan memburu Low Taek Jho.

“Kita akan cari dia. Hanya ada 7 bilion orang, ia bukannya susah sangat.

“Kita boleh cari jarum dalam timbunan rumput kering. Kita akan jadi jarum. Kita akan cari timbunan rumput kering itu.”

 



Comments
Loading...