Kesultanan Pattani: Bangun tamadun ilmu Nusantara


Mohd Fadli Ghani

PATTANI Darussalam adalah antara negeri Melayu yang mempunyai sejarah yang paling awal di Nusantara. Kemunculan Kerajaan Langkasuka sejak tahun 200M, dikatakan oleh kebanyakan sarjana adalah berlokasi di Pattani hari ini. Beberapa sarjana terkemuka seperti Zainal Abidin Wahid, Mubin Shepard, D.G.E Hall, Paul Wheatly dan John Braddle adalah antara yang mengatakan bahawa Pattani adalah tapak Kerajaan Melayu Langkasuka, di mana Jering dan Pujud adalah pusat kerajaannya. Dalam sejarah Majapahit yang dirakamkan oleh babad Negarakertagama, telah mengatakan bahawa ketika Majapahit melanda Langkasuka pada Abad ke-14M, ibu kota Langkasuka terletak di Djere (Jering). Sebelum beragama Hindu, Langkasuka pernah beragama Buddha kerana mereka dikuasai oleh Sriwijaya sejak 775M, di mana kesan-kesan agama Buddha masih terdapat di Yala sehingga kini. Bahkan, ketika Negeri-negeri Melayu di Utara (dari Ligor hingga Retchburi) dijajah oleh Siam Ayuttaya, Pattani mempunyai kedudukan yang setaraf dengan empayar Siam itu – sebagai negeri yang merdeka. Beberapa pengkaji turut mengaitkan wilayah Pattani ini dengan Kerajaan Melayu lama seperti Jawadwipa, Sampugita, Jawaka dan Melayur – kerajaan-kerajaan besar yang tercatat namanya pada prasasti-prasasti serta catatan China, Arab dan India, tetapi belum ada kajian yang serius untuk membongkarnya. Mewarisi kegemilangan ini, Pattani menjadi satu kuasa politik yang penting, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu dan penguasaannya ke atas perdagangan di Laut China Selatan.

Dengan bagasi sejarah yang hebat ini, Pattani yang telah mula menerima Islam sejak abad ke-13M, kemudian bangkit menjadi sebuah kuasa politik Islam yang penting di kawasan Utara dari abad ke-16M hingga abad ke-18M. Dua ciri utama Kerajaan Islam di Pattani ialah peranan para ulamak yang begitu menonjol dalam pentadbiran kerajaan, dan kemudian para ulamak Pattani juga menjadi pemacu tamadun Melayu menerusi kegiatan keilmuan yang terbesar di Nusantara, menggantikan Aceh (Perlak, Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam). Pattani dianggap sebagai Serambi Makkah dalam keilmuan Islam pada abad ke-16M hingga abad ke-19M. Dengan fungsi keilmuan inilah Pattani mencipta nama sebagai sebuah kuasa politik Melayu terpenting di Nusantara. Namun begitu, faktor itu jugalah yang menimbulkan kecemburuan besar kuasa-kuasa politik bukan Islam, yang menyebabkan berlakunya konspirasi di antara Kerajaan Buddha Siam dan kuasa-kuasa penjajah Barat, yang akhirnya menghancurkan Pattani bermula dengan perang Musuh Pattani pada 1786M. Kerana itu, ulamak besar Pattani, Sheikh Wan Ahmad Mohamad Zain al-Fathani menukarkan nama ‘Petani’ yang bermaksud fitnah atau ujian, kepada ‘Fathani’ yang bermaksud bijaksana, yang hari ini dieja dengan sebutan Siam sebagai ‘Pattani’.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...