Sivarraajh hilang kelayakan bertanding PRK Cameron Highlands


(BH) – Bekas penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan tidak boleh dicalonkan semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata perkara itu diputuskan selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Katanya, ia termasuk meneliti Perakuan Hakim Pilihan Raya, mengikut Seksyen 36 (2) (a) dan Laporan Hakim Pilihan Raya mengikut Seksyen 37, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pada 13 Disember lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Dalam tempoh lima tahun bermula 13 Disember lalu, Sivarraajh tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

“Beliau tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya,” katanya dalam surat pemberitahuan status kelayakan Naib Presiden MIC berkenaan, untuk bertanding semula di PRK Cameron Highlands, hari ini.

Azhar berkata SPR mengambil langkah sewajarnya seperti diperuntukkan di bawah akta dan peraturan pilihan raya sedia ada dalam membuat keputusan.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS – 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Semalam, sumber dalaman MIC mendedahkan Sivarraajh adalah calon terbaik dan semua berharap keputusan yang positif dijadualkan minggu depan.

Jika sekiranya Sivaraajh hilang kelayakan, MIC akan berdepan kesukaran mencari pengganti kerana beliau sudah berkhidmat di Cameron Highlands sejak tahun lalu.



Comments
Loading...