‘Insya-Allah kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen tidak terbatal’


“Pada saya, pindaan itu hanya untuk mengikat ahli parti yang belum membuat tindakan. Bagaimanapun, kita akan membawa perkara ini kepada Speaker untuk menentukan tindakan seterusnya”

(Harian Metro) – Mohd Azizi Abu Naim berpendirian kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Gua Musang tidak terbatal walaupun Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan usul pindaan Perlembagaan Bersatu.

Ini kerana katanya, kenyataan yang dibuat iaitu menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tahun lalu, manakala Perlembagaan yang diluluskan itu berkuat kuasa 1 April.

Bagaimanapun katanya, beliau akan merujuk kepada Speaker untuk tindakan susulan selain mengadakan perbincangan dengan lima ahli Parlimen lain dari Bersatu yang turut menyokong kerajaan perpaduan.

“Saya sudah membaca satu persatu kandungan dalam Perlembagaan yang diluluskan oleh ROS berkuat kuasa 1 April tahun ini.

“Kita lihat tiada kaitan langsung dengan tindakan kita tahun lalu, melihat kepada fasal tiada perubahan pun kecuali satu seksyen mengatakan keahlian boleh terbatal sekiranya mana-mana ahli menyokong kerajaan pentadbiran selain daripada parti kita sendiri, namun ia berkuat kuasa 1 April.

“Pada saya, pindaan itu hanya untuk mengikat ahli parti yang belum membuat tindakan. Bagaimanapun, kita akan membawa perkara ini kepada Speaker untuk menentukan tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan, ROS meluluskan kelulusan pindaan usul pindaan Perlembagaan Bersatu kerana ia memenuhi kehendak mengikut Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata pindaan peruntukan dilaksanakan parti itu juga, dibuat mengikut Perlembagaannya.

Mengulas lanjut Mohd Azizi menegaskan, sehingga kini beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk keluar dari Bersatu.

“Saya masih sayangkan parti Bersatu dan tidak pernah berniat untuk keluar. Sebaliknya saya hanya menyokong kerajaan yang memerintah sekarang,” katanya.



Comments
Loading...