SPRM siasat pemimpin kanan disyaki lantik syarikat berkepentingan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air, kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.

(Berita Harian) – Sumber SPRM memberitahu pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin berkenaan.

Beliau berkata, projek berkenaan dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin terbabit dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Katanya, kesalahan itu dipercayai dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac 2024 dan syarikat-syarikat berkenaan turut disyaki mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu bagi kerja-kerja terbabit selain diberikan komisyen kira-kira lima peratus daripada nilai projek.

“Setakat ini sebanyak 15 syarikat telah dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin itu dan antara kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati,” menurut sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara itu.

 



Comments
Loading...