Fahmi sahkan peletakan jawatan Agus, tempat pengarah J-Kom akan diisi segera


‘Saya percaya langkah-langkah untuk mengisi jawatan tersebut akan dibuat secepat mungkin’ : Fahmi

(Scoop) – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini mengesahkan peletakan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Menurut Fahmi, tempat beliau akan diisi secepat mungkin dan Agus kini tiada lagi apa-apa kaitan dengan pihak kerajaan atau J-Kom.

“Saya belum bercakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) khusus mengenai perkara ini. Saya percaya langkah-langkah untuk mengisi jawatan tersebut akan dibuat secepat mungkin,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di San Francisco sempena lawatan kerja Perdana Menteri, pada Jumaat.

Semalam, Agus telah mengesahkan kepada Scoop bahawa beliau sudah menghantar notis ‘bercuti’ daripada jawatan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya tarikh beliau mula bercuti, Agus enggan mengulas dan memaklumkan sedang menunggu kepulangan Perdana Menteri dari luar negara berhubung notis berkenaan.

“Saya bercuti sekarang, tiada kaitan dengan letak jawatan, saya beri notis bercuti dahulu, kalau PM setuju, saya nak berhenti kerana ada jawatan baharu, itu sahaja.

“Setakat ini tidak ada apa-apa keputusan lagi pun,” katanya.

Nama Agus sebelum ini hangat diperkatakan dengan banyak pihak menggesa beliau melepaskan jawatan susulan kegagalan J-Kom menyampaikan manfaat dan perkembangan program kerajaan kepada rakyat secara konsisten.

Malah J-Kom dilihat ‘tersasar’ daripada hala tuju sebenar.

Antara yang meluahkan ketidakpuasan berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim yang merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor. Marina meminta individu lain menggantikan Agus.

“J-KOM tu apa? Jabatan Komunikasi Komuniti yang berperanan memberikan INFO kepada komuniti. Tapi apa info yang korang dah dapat daripada JKOM? maklumkan aku,” soal Marina.

Malah, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menyifatkan ‘kegagalan’ Agus itu memberikan kesan negatif kepada kerajaan.

Ketika membahaskan Bajet 2024 di Dewan Rakyat, Awang mencadangkan kepada kerajaan supaya agensi terbabit yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dibubarkan.

Selain itu, penganalisis politik turut membuat gesaan sama supaya Agus, yang memegang jawatan berkenaan mulai 2 Februari lalu melepaskan jawatan.

 



Comments
Loading...