Lagi MP Bersatu isytihar sokong Anwar


(Malaysiakini) – Seorang lagi anggota parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Maka dengan ini saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang Kerajaan lakukan dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Sokongan saya ini berterusan sehingga pilihan raya Umum (PRU) yang seterusnya,” kata Anggota Parlimen Jeli Zahari Kechik.

Zahari adalah anggota parlimen keempat berbuat demikian selepas wakil rakyat Kuala Kangsar Dzulkarnain Abdul Khalid, Labuan (Suhaili Abdul Rahman) dan Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim).

Malah, ia dibuat sehari selepas Mohd Azizi, juga dari Kelantan, mengambil tindakan sama.

Mirip semua pendahulunya Zahari juga memberi alasan demi mempertingkat pembangunan dan bantuan untuk kawasannya ketika rakyat berdepan kos sara hidup.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi.

“Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku ahli parlimen saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Zahari berkata akan “taat, setia dan kekal” sebagai anggota Bersatu tetapi bersedia berdepan tindakan partinya.

“Ingin saya tegaskan bahawa pengisytiharan sokongan kepada perdana menteri ke-10 ini dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak.

“Ia dibuat atas kerelaan saya sendiri demi rakyat dalam Parlimen Jeli.

“Moga Allah SWT akan memberkati dan kepada Allah SWT saya berserah,” katanya.

 



Comments
Loading...