Pakar Bank Dunia: Cukai RM19 bilion negara lesap tanpa GST


(Malaysiakini) – Malaysia mampu menjana lebihan RM19 bilion hasil cukai tahun lepas jika negara melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan bukannya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada.

Ini sekiranya perbandingan dibuat bukan pada terma nominal, tetapi mengikut peratusan hasil cukai kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), kata ketua ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Apruva Sanghi.

Pada 2017, katanya, GST menjana RM44 bilion, membentuk kira-kira 2.8 peratus daripada KDNK tahun itu.

Pada 2022, jumlah bersamaan untuk 2.8 peratus daripada KDNK adalah RM50 bilion.

Bagaimanapun, pada 2022, SST hanya menyumbang RM31 bilion hasil cukai, iaitu kekurangan RM19 bilion.

“Jumlah itu mungkin 61 peratus lebih dengan GST berbanding SST!” katanya di platform media sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Ini bercangahan dengan hujah bahawa hasil kutipan SST adalah setanding dengan GST, kerana RM31 bilion diperolehi melalui SST pada 2022 manakala GST meraih RM44 bilion kutipan cukai pada 2017.

Apurva berkata ini jurang perbezaan mungkin dianggap lebih kecil, terutamanya apabila mengambil kira RM19 bilion yang dibelanjakan untuk pembayaran balik GST.

“(Ini) betul tetapi mengelirukan! Ini kerana KDNK nominal Malaysia adalah kira-kira 30 peratus lebih pada 2022 berbanding 2017,” katanya.

Tiada rancangan laksana GST

Bulan lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan terbuka untuk meneroka sebarang jalan untuk meluaskan asas cukainya, termasuk memperkenalkan semula GST.

Bagaimanapun, dia berkata tiada rancangan untuk melaksanakam GST buat masa ini dan kerajaan akan memberi tumpuan untuk membangunkan serta memperkenalkan cukai keuntungan modal pada 2024.

Pada Mac lalu, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan memaklumkan Dewan Rakyat bahawa hasil bersih untuk GST adalah RM27.3 bilion pada 2015, apabila ia diperkenalkan untuk menggantikan SST.

Bagaimanapun, pada 2019, kerajaan memperoleh RM27 bilion daripada SST, yang diperkenalkan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

Penentang GST berpendapat ia adalah cukai regresif yang secara tidak adil menghukum golongan berpendapatan rendah, yang pada masa ini tidak membayar cukai pendapatan.

Walau bagaimanapun, penyokong GST percaya ini boleh dikurangkan dengan memperkenalkan GST pada kadar yang rendah dan memastikan barangan keperluan dan perkhidmatan penting berkadar sifar.

Mereka juga berhujah bahawa GST boleh mengaut hasil cukai dengan cekap dan menghentikan ketirisan, berbanding SST.

 



Comments
Loading...