Azam: SPRM tunggu keputusan AGC kes Sanusi, pegawai KSM


(Malaysiakini) – SPRM telah menghantar kertas siasatan (IP) bagi dua kes iaitu melibatkan pegawai kanan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menjelaskan IP untuk lima pegawai kanan KSM yang didakwa terlibat dalam kes rasuah pengambilan pekerja asing dihantar kepada AGC dua bulan lalu.

“Kami masih menunggu keputusan AGC (berkenaan kes itu),” katanya ketika sidang media selepas satu acara SPRM di Maktab Penjara Malaysia di Kajang, Selangor hari ini.

Azam juga menjangkakan AGC akan membuat keputusan berhubung siasatan terhadap Sanusi berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah, dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Pada Mei lalu, Malaysiakini melaporkan lima pegawai KSM dipecat manakala seorang lagi dipindah ke Jabatan Perkhidmatan Awam susulan skandal tersebut.

Kesemua pegawai adalah lantikan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, yang kemudiannya mengesahkan pemecatan itu dan berkata ia bagi memastikan kementerian dapat terus berfungsi dengan baik.

Berkenaan kes REE pula, pada Jun lalu seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah syarikat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu berkenaan.

 



Comments
Loading...