Mat Sabu tak sedar plakad bebaskan Najib dinaikkan


(Malaysiakini) – Seorang pegawai kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan laporan berita bahawa presiden Amanah itu menyertai kumpulan flash mob yang menggesa pembebasan bekas Najib Razak.

Setiausaha akhbar Mohamad Sabu, Adeysham Nor, berkata menteri terbabit hanya melayan permintaan sekumpulan penyokong BN dan PH di Pelangai, Pahang untuk bergambar bersama.

Katanya Mohamad tidak menyedari ada antara mereka yang bergambar bersama itu memegang sepanduk memaparkan mesej mahu membebaskan Najib.

“Saya berada dengan menteri semasa kejadian.

“Sebaik keluar dari pusat penamaan calon dan menuju ke keretanya, ramai penyokong BN dan PH mengajak beliau (Mohamad) selfie dan dia tidak menolak, termasuklah sekumpulan anak muda ini (yang terbabit).

“Pada waktu itu beliau tak perasan pun plakad yang kumpulan anak muda itu pegang,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Hanya selepas meraikan permintaan anak-anak muda itu, kata Adeysham, dia memaklumkan kepada ahli parlimen Kota Raja berkenaan mengenai plakad memaparkan nama Najib.

Semalam Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu adalah antara beberapa pemimpin kerajaan yang mengiringi calon parti kerajaan, Amizar Abu Adam, untuk proses penamaan calon di Bentong.

Sebuah akhbar tempatan dalam laporannya mendakwa Mat Sabu ‘menyertai’ flash mob dengan poster yang menggesa kerajaan membebaskan bekas perdana menteri yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan berkaitan rasuah.

Menurut Adeysham, Mohamad hanya mengetahuinya mengenai perkara itu selepas bergambar dan dimaklumkan namun menganggap ia sebagai hak golongan muda berkenaan untuk bersuara.

“Beliau kata tak apalah… itu hak mereka untuk menuntut, tetapi kuasa melepas (membebaskan) terletak pada tangan lembaga pengampunan.

“Kita kena raikan semua anak muda yang nak bersama kerajaan perpaduan,” kata Adesyam memetik Mohamad.

 



Comments
Loading...