Jangan undi pembangkang, MP Bersatu kongsi derita dengan pengundi KKB


Dr Zulkafperi Hanapi berkongsi dengan pengundi Kuala Kubu Baharu cabaran menjadi wakil rakyat pembangkang.

(FMT) – Seorang Ahli Parlimen Bersatu menyeru pengundi DUN Kuala Kubu Baharu menyokong calon kerajaan, dengan berkongsi pengalaman beliau berkhidmat tanpa dana.

Wakil rakyat Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi, berkata bukan mudah menjadi Ahli Parlimen apabila tidak banyak yang dapat beliau lakukan untuk kawasannya selaku pembangkang.

Katanya, gaji beliau selaku Ahli Parlimen habis dalam tempoh sesingkat satu minggu, antaranya kerana perlu menyumbang apabila ada kematian atau kenduri kahwin di kawasannya, selain gaji kakitangan.

Kekurangan dana juga bererti beliau tidak dapat melayan permohonan menganjurkan program daripada rakyat kawasannya.

“Selama setahun saya dapat kecaman rakyat Tanjong Karang, kata Ahli Parlimen tak berfungsi sebagai Ahli Parlimen, kenapa Ahli Parlimen tak boleh lakukan apa-apa,” katanya Ketika berceramah di Ampang Pecah.

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari yang juga Menteri besar, dan ahli majlis kerja tertinggi Umno, Zambry Abdul Kadir.

“Kalau kita pilih di sini Adun pembangkang, saya rasa tak ke mana. Tak jauh daripada apa yang pernah saya alami sebelum ini,” katanya.

Zulkafperi salah seorang daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Anwar Ibrahim, selain Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan)

Semua wakil rakyat terbabit menyatakan peralihan sokongan itu demi memenuhi keperluan kawasan masing-masing, walaupun tetap setia kepada Bersatu.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertembungan antara Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia, dan seorang calon bebas.

PH akan mempertahankan kerusi itu menerusi Pang Sock Tao daripada DAP, dicabar oleh Khairul Azhari Saut daripada Bersatu, Hafizah Zainuddin dari PRM, dan Nyau Ke Xin.



Comments
Loading...