Alasan PM dalam pembebasan Zahid membimbangkan


Pendedahan perdana menteri ini membuktikan bahawa beliau tahu dan ada berbincang dengan peguam negara sebelum keputusan untuk melepaskan timbalan perdana menteri dibuat.

(Malaysia Now) – Dalam suatu wawancara bersama wartawan antarabangsa kelmarin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mendedahkan bahawa peguam negara ada berjumpa dengan beliau dan berlaku perbincangan mengenai kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebelum keputusan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat.

Perkara ini amat membimbangkan kita berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di bawah.

Pendedahan perdana menteri ini membuktikan bahawa beliau tahu dan ada berbincang dengan peguam negara sebelum keputusan untuk melepaskan timbalan perdana menteri dibuat.

Ini menguatkan lagi persepsi dan bukti bahawa peguam negara tidak bebas kerana beliau melapor kepada perdana menteri.

Jika beginilah praktisnya, lebih baik elok dipinda Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan perkataan “peguam negara boleh memulakan atau memberhentikan apa-apa prosiding jenayah selepas berunding dengan perdana menteri”.

Apa yang lebih memalukan, perdana menteri begitu terbuka mendedahkan perkara ini kepada wartawan dan media antarabangsa.

Ini boleh menyebabkan indeks persepsi rasuah negara terjejas. Bukan itu sahaja, ia akan turut menyebabkan pelabur asing tidak yakin dengan sistem pentadbiran keadilan di negara kita.

Perdana menteri harus berhenti berselindung di sebalik “kuasa” peguam negara.

Ini kerana keputusan yang dikatakan dibuat oleh peguam negara itu juga dikritik hebat oleh Majlis Peguam serta pelbagai pihak lain.

Mengapa? Memandangkan kes ini tidak lagi dibicarakan di mahkamah, apa kata kita rungkai dan imbas kembali merit pendakwaan dalam kes 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah melihatkan Zahid ini barulah kita boleh faham mengapa mahkamah mendapati terdapat prima facie dalam kes ini.

Antara alasan utama peguam negara memberhentikan kes ini adalah berpandukan kepada suatu memo dalaman yang kononnya ditulis oleh seorang timbalan pendakwa raya bertarikh 17 Oktober 2018.

Dalam memo tersebut dihujahkan kononnya pihak pendakwaan tidak akan mampu membuktikan kes prima facie terhadap Zahid sekiranya diteruskan.

Memo ini didakwa ditulis pada tahun 2018. Bagaimanapun pada 23 Januari 2022, mahkamah mendapati wujud kes prima facie terhadap Zahid.

Alasan peguam negara kononnya memo ini boleh memberikan kesan kepada kes Zahid merupakan alasan yang sangat tidak masuk akal sebenarnya.

Mengapa? Dapatan memo tersebut terbukti salah kerana pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.

Apabila perkara itu berlaku, ia sekali gus membuatkan memo tersebut tidak lagi terpakai dan tidak lagi boleh disandarkan sebagai hujah untuk menarik semula kes ini.

Memo tersebut juga (sekiranya tulen) hanyalah sekadar pandangan awal sebelum kes dimulakan.

Apabila kes dimulakan di mahkamah, segala keterangan saksi, hujah pendakwaan, pembelaan dan seterusnya keputusan hakim mendahului dan mengatasi segala-galanya yang ditulis dalam memo terbabit.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...