BN hilang 27,000 undi Melayu di PRK Pulai dan Simpang Jeram – Isham Jalil


Undi Melayu kepada PN meningkat 9,000 daripada 20,000 semasa PRU15 kepada 29,000 dan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pula merosot 27,000 daripada 34,000 pada PRU15 kepada 7,000 pada PRK ini.

(Berita Harian) – Barisan Nasional (BN) kehilangan 27,000 undi Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendakwa kehilangan undi itu mungkin disebabkan pengundi Melayu tidak keluar mengundi atau sudah mengundi Perikatan Nasional (PN).

“Daripada congak ringkas ini dapatan awal yang saya lihat adalah lebih 39,000 pengundi yang dulu ketika Pilihan Raya ke-15 (PRU15) keluar mengundi, kali ini mereka tidak keluar mengundi.

“Daripada jumlah ini, 18,000 adalah pengundi Melayu, manakala 16,000 pengundi Cina dan 5,000 pengundi India tidak keluar mengundi.

“Undi Melayu kepada PN meningkat 9,000 daripada 20,000 semasa PRU15 kepada 29,000 pada PRK ini.

“Undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pula merosot 27,000 daripada 34,000 pada PRU15 kepada 7,000 pada PRK ini.

“Daripada jumlah ini dianggarkan 18,000 tidak keluar mengundi dan 9,000 lagi menukar undi kepada PN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isham berkata, dengan kerjasama BN, PH menambah 4,000 undi Melayu dalam PRK kali ini kepada 7,000 undi Melayu berbanding hanya 3,000 undi Melayu yang mereka dapat pada PRU15.

Perkiraan ringkas yang beliau buat itu hanyalah congak berdasarkan kiraan perincian yang ada.

“Jika ada kiraan yang lebih tepat, bolehlah sertakan di ruangan komen (dalam Facebook) dengan perincian anda.

“Saya harap dan mendoakan agar dengan keputusan ini semoga semua pihak dapat mengambil iktibar dan membuat langkah-langkah pembaikan untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

 



Comments
Loading...