Muhammad Faiz letak jawatan, umum keluar Bersatu


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli parti itu berkuat kuasa hari ini.

(Sinar Harian) – Dakwa Muhammad Faiz, objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong yang mana ia mahu menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada orang muda dan muka baharu terutama mempunyai latar belakang bersih.

“Sejarah itu juga dilihat bakal berulang pada PRN enam negeri terutama untuk kerusi-kerusi Bersatu dalam PRN Selangor sekarang,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Isnin.

Tambah beliau, pemilihan calon oleh parti juga bersifat ‘berat sebelah’ kepada ‘kartel’ tertentu dan muka baharu dijadikan sebagai ahli semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor.

Rentetan itu, Muhammad Faiz berkata, ia telah menyebabkan pemberontakan lebih sembilan bahagian Bersatu di Selangor hingga berlakunya insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan Saringan Calon.

“Bukan itu sahaja, kelemahan lembaga disiplin parti yang lambat dan banyak kerenah menyebabkan watak yang telah keluar dan mengkhianati parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu boleh kembali mendakwa dirinya masih menjadi ahli Bersatu untuk dipilih menjadi calon PN dalam PRN ini.

“Tidak menghairankan jika Bersatu tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti-parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak-anak muda serta orang baharu dalam politik memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian,” ujarnya.



Comments
Loading...