Kes SRC: Anwar sokong keputusan mahkamah dan percaya mahkamah bebas


“Saya menyokong keputusan mahkamah malah saya percaya mahkamah bebas,”kata Perdana Menteri dalam satu wawancara bersama program 101 East Al Jazeera pada Khamis.

(Suara TV) – Permohonan Pengampunan Diraja yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang bukanlah membawa maksud bahawa beliau tidak bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sebaliknya, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim keputusan yang diputuskan mahkamah terhadap Najib adalah bebas.

“Apabila anda memohon pengampunan, ia bukan bermakna anda menganggap diri anda tidak bersalah.

“Saya menyokong keputusan mahkamah malah saya percaya mahkamah bebas,”kata Perdana Menteri dalam satu wawancara bersama program 101 East Al Jazeera pada Khamis.

Untuk rekod Najib disabitkan pada 2020 atas kesalahan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana SRC International, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos tahun lalu.

Pada Mac, Mahkamah Persekutuan menolak semakan kehakiman yang difailkan Najib atas sabitan dan hukumannya.

Susulan itu, Umno menggerakkan usaha untuk mendapatkan Pengampunan Diraja buat Najib yang juga bekas Presiden Umno.

Pada April, Anwar mengakui bahawa beliau akan menjadi sebahagian daripada anggota Lembaga Pengampunan yang ditugaskan untuk memutuskan pengampunan untuk Najib.

Anwar berkata tidak wujud konflik kepentingan dengan beliau yang terlibat dalam proses pengampunan bagi seorang pemimpin daripada parti yang membentuk sebahagian daripada kerajaan campurannya.

“Ada proses, dan saya menghormati proses itu.

“Sesiapa sahaja, mana-mana banduan, berhak merayu kepada Agong dan memohon pengampunan.

“Mengapa menafikan hak Najib? Biarkan proses itu berjalan,” katanya.

Awal bulan ini, perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno, ketika Anwar menjadi tetamu jemputan, berdiri menyokong gesaan untuk mendapatkan “keadilan” buat Najib.

Sebelum ini Anwar pernah dibebaskan selepas mendapat Pengampunan Diraja pada 2018 atas sabitan dan hukuman atas kesalahan meliwat.

 



Comments
Loading...