MOF nafi pegawai luluskan pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary


(Malaysiakini) – Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengesahkan bahawa tidak ada pegawai-pegawainya, yang membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Penjelasan itu dipercayai merujuk kepada dakwaan penulis blog Raja Petra Kamarudin dan yang lain bahawa seorang pegawai kanan di bahagian cukai kementerian telah menandatangani pembatalan itu semasa Lim Guan Eng memegang jawatan sebagai menteri kewangan.

“Kementerian Kewangan, sama ada melalui mantan menteri kewangan dan/atau pegawai-pegawainya, tidak membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada Yayasan Albukhary,” petik kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian Kewangan menambah bahawa ia memandang serius tuduhan tersebut dan telah membuat laporan polis.

Sebelum ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa Lim bertanggungjawab ke atas pembatan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary yang diterajui oleh taikun Syed Mokhtar Albukhary.

Dakwaan itu dibuat selepas Muhyiddin disiasat SPRM berhubung kononnya permintaan taikun itu kepadanya – semasa dia menjadi perdana menteri – untuk mengembalikan status pengecualian cukai yayasan itu.

Presiden Bersatu itu kemudiannya didakwa atas tuduhan rasuah, berhubung dana yang diterima Bersatu antaranya, daripada entiti perniagaan Syed Mokhtar yang lain.

Lim sebelum ini juga telah menafikan membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga adalah menteri kewangan mengesahkan penafian Lim di Dewan Rakyat, pada Selasa lalu, dengan berkata tiada rekod pengerusi DAP itu berbuat demikian.

Anwar sebaliknya berkata, pengecualian cukai itu telah diluluskan di bawah subseksyen Akta Cukai Pendapatan yang tidak memerlukan kelulusan menteri.

Katanya, di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri mempunyai kuasa penuh ke atas perkara berkaitan pengecualian cukai, tanpa campur tangan daripada menteri kewangan atau perdana menteri.

 



Comments
Loading...