Muhyiddin sahkan beri keterangan kepada SPRM tapi bukan suspek


Bersatu sebelum ini didakwa menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor sebagai dana politik susulan persetujuan dibuat dengan beberapa pemimpin parti.

(Malaysia Post) – PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan mengenai projek Jana Wibawa.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kehadirannya di pejabat SPRM terbabit untuk menjawab beberapa soalan mengenai projek berkenaan, bukannya sebagai suspek.

Jelas Muhyiddin, antara keterangan yang telah diberikannya adalah berkaitan penganugerahan kepada kontraktor yang dipilih bawah projek Jana Wibawa.

“Saya tanya adakah saya suspek? SPRM kata bukan tetapi hanya membantu siasatan. Saya yakin telah berikan kerjasama yang baik,” katanya selepas melancarkan kempen derma darah anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menjelaskan projek berkenaan diusahakan Kementerian Kewangan (MOF) yang dicadangkan Menteri Kewangan pada waktu itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika pandemik Covid-19.

“Ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19 dan yang paling teruk terkesan adalah pihak kontraktor Bumiputera yang amat memerlukan bantuan.

“Idea itu datang daripada Tengku Zafrul dan saya setuju. Ia kemudian dibawakan kepada Kabinet dan diluluskan.

“Saya beritahu SPRM bahawa saya tidak mengenali mana-mana kontraktor itu dan pada masa itu, Kementerian Kewangan yang membawa masuk senarai kontraktor.

“Mereka adalah kontraktor yang mendapat kelulusan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bertaraf tiga hingga lima bintang, ada lebih kurang 54 syarikat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya SPRM mahu maklumat lanjut, mereka boleh memanggil Menteri Kewangan pada masa beliau mentadbir negara.

Semalam, SPRM memaklumkan bekas Perdana Menteri itu sudah memberi keterangannya berhubung siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Bersatu.

Bersatu sebelum ini didakwa menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor sebagai dana politik susulan persetujuan dibuat dengan beberapa pemimpin parti, termasuk mereka yang berkhidmat di bawah pentadbiran Muhyiddin ketika itu.

Difahamkan, lebih 15 individu termasuk pemimpin Bersatu dan pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM untuk dirakamkan kenyataan.

 



Comments
Loading...