Mahkamah dengar rayuan berkait saman salah laku seksual terhadap PM pada 7 April


Muhammed Yusoff Rawther memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Anwar Ibrahim.

(Malaysia Now) – Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan yang difailkan bekas staf Anwar Ibrahim pada 7 April depan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi membatalkan beberapa perenggan daripada pernyataan pembelaan perdana menteri itu berkait dakwaan serangan seksual yang difailkan pada Julai 2021.

Tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes semalam, di mana Anwar diwakili Navpreet Singh dan Muhammed Yusoff Rawther diwakili Mahajoth Singh.

Yusoff yang memfailkan saman terhadap Anwar selepas mendakwa diserang secara seksual empat tahun lalu, kini dalam usaha membatalkan beberapa perenggan daripada pernyataan pembelaan Anwar yang dikemukakan pada September 2021.

Beliau menuntut mahkamah membatalkan enam tuduhan yang dibuat dalam oleh Anwar dalam pernyataan pembelaannya , termasuk perkara yang berkait dua individu yang kini sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, pada 9 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya dan memerintahkan supaya beliau membayar kos sebanyak RM3,500.

Yusoff memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu pada hari yang sama.

Dalam samannya, Yusoff berkata insiden serangan seksual tersebut berlaku di rumah Anwar yang terletak di Bukit Segambut kira-kira 10 hari sebelum pemimpin PKR itu memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya, selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk kerana menyebabkan beliau mengalami trauma dan gangguan fizikal, psikologi dan sosiologi akibat insiden tersebut.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...