UMNO Kelantan terima Tok Pa


(Harian Metro) – UMNO Kelantan tetap menerima Ali Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan hati terbuka sebagai satu pasukan, walaupun pernah terguris hati.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pengorbanan perlu dilakukan demi kepentingan rakyat tanpa memikirkan perkara lalu.

“Kita perlu berjiwa besar dalam soal ini, mengambil contoh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pun sanggup menyokong kerajaan hari ini walaupun kita tahu krisis yang berlaku.

“Sudah tentu hati orang UMNO terguris dengan Mustapa, namun kita perlu melihat kepentingan rakyat. Barang yang lepas usah dikenang.

“Kita tetap terima dalam satu pasukan dan berada dalam kumpulan sama. Tok Pa (Mustapa) adalah sebahagian daripada kita,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, apa yang penting perlu dilakukan adalah semua parti bersatu hati dan fokus untuk meyakinkan rakyat.

“Kita perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan hari ini jauh lebih baik daripada sebelumnya dan semua pihak perlu memainkan peranan,” katanya.

Untuk rekod, di Kelantan, PAS mempunyai 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO lapan kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai satu kerusi.

Pada September 2018, Mustapa mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu sebelum menyertai Bersatu.

Mustapa berkata, keputusannya itu susulan hala tuju UMNO tidak selari dengan perjuangannya.

 



Comments
Loading...