PhD: Saya lupa kemas kini maklumat LinkedIn, kata calon PH


Muhammad Aiman Zainali menjadi individu terbaru dalam Pakatan Harapan (PH) yang terpaksa menjelaskan latar belakang akademiknya.

(Malaysiakini) – Calon PRK Semenyih berusia 30 tahun itu menjelaskan beliau memang belum menamatkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dan tidak pernah mendakwa sebaliknya.

Menurut laporan The Star Online hari ini, ada beberapa percanggahan berkenaan maklumat pelajaran di profilnya dalam laman rangkaian profesional, LinkedIn.

Menurut laporan, terdapat risalah kempen yang memaklumkan Aiman, menantu kepada penyandang DUN Semenyih Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, sedang menuntut di peringkat PhD dalam kejuruteraan elektrik, manakala profil LinkedIn menyatakan beliau menamatkan pelajaran peringkat itu pada 2016.

“Ketika membuat akaun itu, saya nyatakan menjangka tamat belajar pada 2016 tetapi ia tidak terjadi kerana saya terpaksa tangguh pengajian untuk menjaga nenek yang sakit.

“Saya terlupa untuk kemas kini akaun LinkedIn,” katanya seperti dipetik.

Terdahulu, beberapa pemimpin PH dilanda kritikan apabila didakwa memalsukan kelayakan akademik dalam maklumat diri mereka.

Ia bermula dengan Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya, yang kemudiannya menjelaskan beliau mendapat sijil daripada Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat, bukannya Cambridge University United Kingdom.

CIU kemudian didakwa sebagai ‘kilang pengeluar sijil’.

Selain Marzuki, kelayakan akademik Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Johor Osman Sapian turut dipersoalkan. Mereka akhirnya mengakui tidak menamatkan pengajian peringkat ijazah di universiti masing-masing.

 



Comments
Loading...