Hamzah Zainuddin dicadang ganti Ahmad Faizal ketuai Bersatu Perak


(Utusan) – Seorang Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini mencadangkan supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi Bersatu Perak.

Ketua Bahagian Bersatu Bukit Gantang, Datuk Shaharuddin Rashid berkata, Hamzah yang menyertai Bersatu baru-baru ini dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menggantikan Ahmad Faizal yang dilihat tidak lagi mampu untuk mengendalikan Bersatu negeri.

Menurutnya, Hamzah yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Larut calon paling sesuai kerana mempunyai pengalaman yang luas dalam politik.

Beliau berkata, selain Hamzah, Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang juga menyertai Bersatu juga dilihat sebagai seorang lagi calon yang mampu memastikan Bersatu Perak diuruskan dengan baik.

“Dua-dua mereka baru menyertai Bersatu. UMNO ni bukan semua penyamun, bukan semuanya jahat. Hamzah banyak pengalaman.

“Jika Ahmad Faizal tidak boleh mengendalikan Bersatu Perak, biarlah Hamzah yang mengetuainya ataupun Noor Azmi. Mereka hanya mengetuai parti negeri sahaja, tidak melibatkan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, beliau melihat Ahmad Faizal tidak mampu mengendalikan Bersatu Perak dengan baik malah melihatnya sebagai parti ‘caca marba’.

Beliau berkata, keadaan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ahli mahu melihat parti menjadi lebih baik.

“Beliau gagal mengadakan mesyuarat parti peringkat negeri dengan alasan kesibukan tugas sebagai Menteri Besar tapi Perdana Menteri lagi sibuk masih sempat mengadakan mesyuarat.

“Beliau kata tak ada masa tapi dalam tempoh lapan sembilan bulan, beliau dah tiga kali bercuti di luar negara. Tak kan tak ada masa untuk mempengerusikan mesyuarat badan pimpinan negeri supaya masalah yang ada kita bincang dan selesaikan,” katanya.

 



Comments
Loading...