Tun M didesak henti campuri pelantikan YDPA


(Malaysia Gazette) – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Jemaah Menteri Pakatan Harapan (PH) selaku badan eksekutif di negara ini didesak berhenti mencampuri urusan Majlis Raja-Raja dalam pelantikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang baharu.

Pengarah Pertubuhan Peguam Prihatin Demi Keadilan (CLJ), Hafiz Norkhan berkata, tindakan itu dibimbangi akan mencemarkan kedudukan institusi Raja dan peranan Majlis Raja-Raja di negara ini.

“Kami dengan tegasnya menolak dan membantah mana-mana campur tangan kuasa eksekutif termasuk penglibatan mana-mana ahli politik dalam urusan pemilihan YDPA.

“Kami berharap agar Dr Mahathir mengambil maklum dan memastikan pemisahan kuasa eksekutif di peringkat Persekutuan termasuk negeri-negeri dalam urusan ini benar-benar berlaku dan terjamin.

“Kami sebagai pengamal undang-undang dan rakyat, berasa kurang senang dengan desas-desus berlakunya campur tangan dalam urusan ini.

“Ini kerana Majlis Raja-Raja Melayu sebagai sebuah badan mempunyai kuasa mutlak, hak dan keistimewaan tersendiri,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu Hafiz menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya di hadapan bangunan Perdana Putra.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Imran Tamrin yang mewakili kluster undang-undang Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Akhir tahun lalu, desas-desus mengatakan Sultan Muhammad V tidak akan kembali bertugas sebagai YDPA ternyata benar apabila baginda sendiri meletakkan jawatannya pada 6 Januari lalu.

Tindakan Sultan Muhammad V pula mengundang pelbagai khabar angin termasuk dakwaan Dr Mahathir cuba menghalang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar daripada ditabalkan sebagai YDPA baharu.

Hafiz juga berkata, Dr Mahathir perlu menzahirkan ketegasan kerajaan terhadap ahli-ahli politik khususnya badan eksekutif negara yang telah mengundang kemarahan rakyat hingga menghina Institusi Raja dan YDPA.

“Kita banyak dengar desas-desus di media sosial dan media massa malah beberapa tokoh sama ada ahli politik ataupun badan eksekutif yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan masyarakat yang mengambil berat isu Majlis Raja-Raja dan YDPA

“Baru-baru ini kita dengar terdapat tiga individu telah menyatakan komen berbentuk penghinaan terhadap Sultan Muhammad V dengan kata-kata menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara kita.

“Pada pandangan kami sesuatu perlu dilakukan sama ada kerajaan Dr Mahathir perlu memberi penegasan terhadap situasi ini tak boleh dibiarkan,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar selaku wakil pejabat Perdana Menteri yang ditemui MalaysiaGazette pula berkata, dakwaan campur tangan kerajaan dalam pelantikan YDPA hanya berdasarkan media sosial tidak boleh dijadikan sebagai asas pembuktian.

“Melalui media sosial, orang boleh bercakap apa saja kerana kebebasan bersuara tetapi saya yakin dan percaya kerajaan hari ini masih mengamalkan undang-undang dan menghormati Perlembagaan.

“Kalau ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dan kalau ada pelanggaran undang-undang dan cuba merobek Perlembagaan negara, rakyat boleh buat laporan polis dan tindakan akan diambil.

“Kalau tiada laporan bagaimana kita nak ambil tindakan. Memorandum ini kita kena terima, tapi peguam muda kena bertindak bijak. Kalau setakat khabar angin, tak boleh buat apa,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...