Annuar sahkan 6 ahli Parlimen keluar Umno


(FMT) – Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan 6 ahli Parlimen Umno keluar dari parti itu menerusi surat pemakluman yang dihantar ke Ibu Pejabat Umno pagi tadi.

“Saya mengesahkan pagi ini pejabat saya menerima suatu pemakluman bersama dari 6 orang ahli Parlimen Umno keluar dari parti berkuat kuasa hari ini, 14 Disember 2018.

“Umno mengucapkan ‘selamat maju jaya’ kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Selain itu, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Rosol ketika dihubungi FMT menyatakan minat untuk terus berjuang kepada rakyat di kawasannya di bawah PPBM.

Bekas setiausaha perhubungan Umno negeri itu berkata, keputusan itu dibuat setelah menyedari menjadi pembangkang di peringkat negeri dan persekutuan membataskan keupayaannya untuk membantu membangunkan Hulu Terengganu kerana kekurangan dana.

“Saya tak boleh macam ni selamanya, kena ambil keputusan untuk pilih sama ada PAS di Terengganu atau Pakatan Harapan di pusat supaya kita boleh bantu rakyat.

“Jadi saya buat keputusan untuk masuk PPBM, itupun kalau mereka terima saya. Ini akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada keputusan meninggalkan parti itu dibuat kerana kurang yakin dengan kepimpinan parti, menegaskan beliau melakukannya untuk rakyat Hulu Terengganu.

Terdahulu, Ikmal Hisham memutuskan keluar Umno dan meletakkan jawatan sebagai ketua umno bahagian.

Pengumuman itu dibuat di depan hampir 800 penyokong dan pimpinan Umno Tanah Merah dalam pertemuan ringkas di dewan Umno Gual Ipoh.

Rabu lalu, Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli politik bebas.

Mereka yang keluar parti itu terdiri daripada 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah.

Selain Hajiji yang merupakan Adun Sulaman, Adun lain ialah Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

 



Comments
Loading...