‘Papan tanda tulisan Cina di Shah Alam diturunkan berperingkat’


Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata tindakan segera diambil pihaknya dengan menurun dan menggantikan papan tanda tulisan Cina dengan bahasa Melayu sahaja.

(Bernama) – Kerja menurunkan papan tanda tulisan Cina di sini sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam masa terdekat, demikian menurut Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata tindakan segera diambil pihaknya dengan menurunkan papan tanda itu hari ini.

“MBSA menjunjung titah Sultan Selangor agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina digantikan dengan papan tanda jalan yang memaparkan bahasa Melayu sahaja,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin dilaporkan menitahkan semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan Cina digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu.

Titah itu disampaikan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Menurut kenyataan itu, operasi penukaran papan tanda jalan itu hendaklah dilaksanakan dengan segera dan diselesaikan selewat-lewatnya sebelum sambutan ulang tahun hari keputeraan ke-73 Sultan Selangor pada 11 Disember ini.

Sebelum ini, seorang penduduk Shah Alam memuat naik catatan di Twitternya mempersoalkan kewajaran papan tanda jalan di kawasannya dalam bahasa Cina.

Kenyataan itu yang tular dalam media sosial turut mempersoalkan kedudukan tulisan Jawi yang sebelum ini digunakan pada papan tanda jalan tersebut.

MBSA ketika memberi maklum balas kepada pengguna Twitter tersebut memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Januari 2017 memutuskan penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa, selain tulisan Rumi.

Menurut MBSA, penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan Jawi, manakala di kawasan kampung baharu menggunakan tulisan Cina bersesuaian komuniti penduduk di kawasan tersebut.

 



Comments
Loading...