Mungkin wujud ‘musuh dalam selimut’ dalam PKR, kata Wan Azizah


(FMT) – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan wujud “musuh dalam selimut” dalam PKR yang cuba merosakkan pemilihan parti di bahagian Julau, Sarawak, semalam.

Presiden PKR itu berkata, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dipertanggungjawab untuk menyiasat dengan teliti dakwaan tablet di pusat mengundi bahagian itu digodam dengan perisian “Prey” sehingga mengakibatkan penangkapan seorang pegawai pemilihan PKR hari ini.

“Saya mahukan JPP siasat dan cari apakah puncanya. Mana-mana pihak yang membuat kepincangan sepatutnya kita tangani sebab parti kita telah berkembang.

“Dulu ahli sikit tetapi sekarang ramai dan kita hadapi banyak masalah juga. Kita tak boleh nafikan mungkin ada ‘infiltrator’ yang datang dan merosakkan parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutupan rasmi Hari Puteri peringkat kebangsaan, hari ini.

Terdahulu hari ini, seorang pegawai pemilihan PKR yang ditugaskan untuk mengurus proses pengundian di Julau ditahan polis ekoran dakwaan berlakunya “serangan siber” pada sistem e-undi di bahagian itu.

Sebuah portal melaporkan penahanan itu disahkan pengarah pemilihan PKR Sarawak, Desmond Kho.

Katanya, pegawai terbabit kini ditahan polis di Sarikei.

Semalam JPP mengesahkan 4 tablet yang digunakan di pusat mengundi Julau telah digodam.

Pengerusinya, Datuk Rashid Din, berkata, penggodam cuba memasukkan perisian intip itu ke dalam 10 tablet yang digunakan untuk proses pengundian.

Katanya, siasatan awal mendapati perisian intip itu dimasukkan secara fizikal ke dalam tablet untuk kegunaan pemilihan di bahagian Julau kira-kira pukul 4 pagi, semalam.

Dakwaan itu pada awalnya ditimbulkan oleh calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli.

Katanya, perisian itu membolehkan penggodam mengawalnya dari jauh.

Awal bulan ini, dilaporkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pertambahan mengejut ahli di bahagian parti itu.

Keahlian bahagian Julau dilaporkan meningkat kepada 13,000 orang daripada hanya 603 dalam masa satu hari.

 



Comments
Loading...