Hadi tak setuju mansuh hukuman mati


(FMT) – Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bersetuju hukuman mati mandatori dimansuhkan, tetapi menyeru kepada kaedah hukuman berperingkat.

Presiden PAS menggesa kerajaan menjadikan hukuman mati mandatori pilihan terakhir selepas hukuman lebih ringan dikenakan, seperti kaedah hukuman ta’zir dalam Islam.

“Saya harap kerajaan dapat mengkaji terlebih dahulu keputusan berkenaan mengikut proses yang adil dan betul mengikut peringkat-peringkat tertentu.

“Walaupun hukum mati mandatori diperuntukkan bagi kesalahan dadah, mesti didahulukan dengan hukuman lain dulu,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pada Ahad berkata hukuman mati mandatori akan digantikan dengan penjara minimum 30 tahun jika Parlimen meluluskan pemansuhannya.

Rang undang-undang berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang, dan sementara itu menteri menggesa Lembaga Pengampunan mempertimbangkan untuk menggantung hukuman mati.

Terdapat 18 kesalahan jenayah memperuntukkan hukuman mati seperti mengedar dadah, membunuh, rogol kanak-kanak, rogol hingga menyebabkan kematian dan menggunakan senjata api, selain terorisme dan melancarkan perang.

Media melaporkan terdapat 1,267 banduan yang berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga kini tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

 



Comments
Loading...