Umno akan ambil tindakan undang-undang ke atas Rozman dan yang lain, kata Bung Mokhtar


(FMT) – Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin berkata parti itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli yang keluar parti itu, selain Ahli Parlimen lain yang sebelum ini mengambil langkah sama.

“Umno akan mencari keadilan berhubung kes semua YB (Yang Berhormat) yang berpaling tadah,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta memberi komen ntang kemungkinan Umno mengambil tindakan undang-undang terhadap Rozman yang mngumumkan keluar parti itu semalam.

Ahli Parlimen Labuan itu mengumumkan keluar Umno dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sebelum ini Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyatnya yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Mengulas lanjut, Bung berkata Rozman yang merupakan kawan beliau pernah menyatakan hasratnya banyak kali untuk melompat parti.

“Apakan daya, setiap manusia ada kemahuannya sendiri, kita sedar setiap perjuangan akan ada cabarannya. Ada pemimpin hatinya lemah dan tidak boleh menerima hakikat perlu berhadapan dengan cabaran dan kesusahan, atau pun kerana dah biasa senang,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Umno bukan sebuah parti biasa, tetapi merupakan sebuah perjuangan.

“Biarlah pemimpin datang dan pergi, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Saya ucapkan selamat berjaya kepada Rozman,” katanya.

Sehingga kini antara Ahli Parlimen Umno yang mengisytiharkan keluar parti selepas memenangi kerusi masing-masing dalam pilihan raya umum 9 Mei ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).



Comments
Loading...