SPRM mungkin panggil Hishammuddin


(Sinar Harian) – Peguam kepada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan memanggil bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi memberi keterangan berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU14.

Memetik laporan Berita Harian, Peguam, Datuk Shaharudin Ali, mendakwa dalam prosiding permohonan lanjutan terhadap anak guamnya di Mahkamah Majistret hari ini, SPRM juga mengesan dua putera Arab Saudi bagi membantu siasatan itu.

Katanya, SPRM memohon lanjutan reman selama tujuh hari lagi terhadap Hasanah hari ini, selepas direman lima hari bermula Rabu lalu, namun mahkamah hanya membenarkan lanjutan reman sehari saja lagi sehingga esok.

Jelasnya, SPRM memberikan sembilan alasan bagi permohonan lanjutan reman itu, antara lain badan itu mahu mengesan baki wang dan beberapa jam tangan mewah yang masih belum dikesan selain mahu mengetahui pergerakan dan menggeledah rumah anak guamnya.

“Terdapat juga isu untuk membawa pulang tiga individu yang dipercayai terbabit dalam kes ini dari Abu Dhabi. Apa yang memeranjatkan, nama Datuk Seri Hishammuddin disebut sebagai orang yang mungkin juga disiasat SPRM berkaitan isu Datuk Hasanah ini dan tujuh pegawai MEIO yang lain. Mereka mengatakan mereka mungkin akan menemuduga beliau tak lama lagi.

“Kami maklumkan kepada mahkamah bahawa lima hari (reman) sudah memadai. Perjalanan siasatan agak lambat dan ia tidak boleh diletakkan di bahu Datuk Hasanah,” katanya ketika ditemui media di Mahkamah Majistret.

Pada 29 Ogos lalu, Hasanah direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung penyalahguna kuasa dan penyelewengan dana PRU14.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Shaharudin berkata, Hasanah turut memberikan kenyataan di mahkamah bahawa dia menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah MEIO di bawah perintah kerajaan Malaysia, selain turut menafikan pembabitan Hishammuddin dan dua putera Arab Saudi dalam kes itu.

“Dia mengatakan dia berurusan sebagai Ketua Pengarah perkhidmatan sulit Malaysia dengan perkhidmatan rahsia Arab Saudi, jadi urusan ini banyak membabitkan rahsia besar kerajaan dan bukan orang calang-calang yang boleh bertanya dengannya mengenai urusan perisikan sulit antara Malaysia dan negara luar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika diminta mengesahkan dakwaan itu, enggan mengulas lanjut.

“Tidak mahu komen. Sesiapa saja yang boleh membantu siasatan akan dipanggil,” katanya.

 



Comments
Loading...