Tunjuk bukti AS beri ‘lampu hijau’ jual Equanimity


(Malaysia Gazette) – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diberi tempoh 48 jam untuk menunjukkan keputusan mahkamah Amerika Syarikat (AS) membuktikan kapal Equanimity dibeli menggunakan wang curi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy menegaskan, Mahathir juga perlu membuktikan bahawa beliau dihubungi Jabatan Keadilan (DoJ) AS yang memberi ‘lampu hijau’ untuk melelong kapal persiaran mewah itu.

“Tunjuk bukti itu dalam tempoh 48 jam. Tunjukkan keputusan mahkamah di AS kapal Equanimity dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB,” katanya pada sidang media selepas membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri selepas melawat kapal mewah itu di Terminal Boustead Cruise Centre berkata, berdasarkan siasatan DoJ Amerika, kapal bernilai RM1 bilion itu dibeli oleh ahli perniagaan Jho Taek Low atau Jho Low menggunakan wang dicuri.

Mahathir berkata, pihak AS mempunyai dokumen yang boleh membuktikan sumber kewangan untuk membeli kapal mewah itu melalui aktiviti wang haram.

Raggie juga menegaskan sekiranya Ahli Parlimen Langkawi itu berupaya menunjukkan dokumen membuktikan kapal itu dibeli menggunakan wang curi, beliau tidak teragak-agak untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sebaliknya jika Mahathir gagal berbuat demikian, Raggie menyifatkan Perdana Menteri itu sebagai seorang penipu besar.

“Sekiranya Dr Mahathir dalam 48 jam boleh kemukakan bukti ini di depan kamera di hadapan rakyat Malaysia, saya akan buat kenyataan media dan minta ampun maaf daripada Dr Mahathir kerana saya menipu.

“Selagi Dr Mahathir tidak buat itu dalam tempoh 48 jam saya isytiharkan Dr Mahathir sebagai penipu besar,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...