Kerajaan sukar urus kewangan tanpa hasil GST, kata laporan


Dengan melaksanakan kembali cukai jualan dan perkhidmatan, Malaysia akan mengalami defisit RM25-RM30 bilion setiap tahun dalam kutipan, menjejaskan aktiviti ekonomi.

(FMT) – Keputusan memansuhkan GST mungkin membawa kesan buruk kepada kedudukan fiskal dan masa depan ekonomi Malaysia, menurut satu pendapat dalam akhbar Singapura, The Straits Times.

Editor bersekutu Straits Times, Vikram Khanna menyifatkan tindakan memansuhkan 6% GST langkah yang terdorong oleh “politik populis, bukan langkah ekonomi yang bijak”.

Katanya, ia juga akan mengehadkan kebolehan kerajaan melaksanakan agenda yang dilihat sebagai progresif dan inklusif.

Katanya, GST sudah lama dianggap oleh pakar ekonomi sebagai satu bentuk cukai pengambilan yang paling komprehensif, telus dan cekap. Ia ukuran fiskal terbaik Malaysia pernah laksanakan, katanya.

Katanya, dengan melaksanakan semula rejim cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Malaysia kemungkinan besar akan mengalami defisit RM25 bilion sehingga RM30 bilion setiap tahun dari segi kutipan. 

“Setakat ini, kerajaan Malaysia masih belum wujudkan sebarang langkah alternatif untuk menggantikan hasil yang akan hilang akibat pemansuhan GST.

“Ini akan membawa kesan negatif kepada kedudukan fiskal Malaysia dan juga hutang negara, yang mana menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, sudah melebihi RM1 trilion, atau 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Agensi penarafan kredit, Moody’s dan Fitch sudah memberi amaran, pemansuhan GST akan membawa ‘kredit negatif’ kepada Malaysia.”

Katanya, kerajaan merancang untuk menambah baik kedudukan fiskal dengan mengawal perbelanjaan, termasuk mempertimbangkan semula keutamaan projek-projek, meningkatkan kecekapan kerajaan dan mengurangkan pembaziran dalam sektor awam.

Bagaimanapun, Khanna berkata, potongan dalam perbelanjaan akan menjejaskan ekonomi Malaysia dengan merendahkan aktiviti ekonomi dan mewujudkan “kehilangan pekerjaan yang tidak wajar”.

Beliau juga berkata, kos memansuhkan GST akan turut memberi kesan pada “projek-projek lepas yang sepatutnya dibiayai oleh hasil lebih tinggi yang dijana GST, dan yang mana Malaysia tidak lagi akan mampu”.

Katanya, kerajaan mungkin terpaksa menaikkan tambang transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT).

“Walaupun harga minyak hari ini yang agak tinggi, iaitu hampir AS$80 setong, akan memberikan Malaysia sedikit keselesaan fiskal dalam jangka masa pendek, hasil berasaskan minyak, seperti yang dilihat sejak 10 tahun lepas, mudah berubah dan tidak tentu. Malaysia tidak boleh bergantung kepada hasil minyak untuk jangka masa panjang.

“Selepas GST dimansuhkan, kerajaan akhirnya akan terpaksa mewujudkan cukai baru, sama ada pada pendapatan atau perolehan modal, atau mengenakan caj lebih tinggi pada pengguna.”

Khanna berkata GST juga dipersalahkan atas isu-isu lain seperti skandal kewangan berkaitan 1MDB dan Felda.

“Dalam minda sesetengah pengundi, isu-isu ini berkaitan: GST dilihat sebagai cara menutup kerugian hasil yang Malaysia hilang kerana salah urus dan korupsi.

“Cukai yang pada asasnya baik dari segi ekonomi sudah tercemar dan dipolitikkan.”

“Memansuhkannya mudah. Tetapi kini cabarannya adalah, kerajaan baru mempunyai tugas yang tidak menyenangkan untuk menguruskan kewangan Malaysia tanpa GST, dan tanpa langkah hasil alternatif yang sepadan,” katanya.

 



Comments
Loading...