Azmin mahu ‘tutup pintu’ KLIA jika PH menang


(Malaysia Gazette) – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhasrat menjadi Menteri Dalam Negeri sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-14.

Beliau berkata, tujuannya hanyalah mahu menutup pintu utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelakkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO melarikan diri dari Malaysia.

“Saya nak minta satu sahaja, saya nak jadi Menteri Dalam Negeri saja, jaga cawangan khas kat belakang sana, aku menteri dalam negeri.

“Pada 9 Mei itu, tutup sahaja pusat pembuangan undi, saya nak duduk di lapangan terbang sebab ‘ramai’ yang nak lari.

“Saya nak kelibat seorang itu, memang aku akan tangkap punya. Tambah pula kalau ada seorang perempuan itu, dia tak boleh lari.. dia berat,” katanya seloroh semasa berucap pada Majlis Santai Mesra Bersama Rakyat Telok Gong di sini malam ini.

Hadir sama calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri dan penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago.

Mohamed Azmin juga berkata secara sinis, sekiranya keputusan PRU-14 memihak kepada UMNO dan BN, sudah pasti ia akan diumumkan dengan awal, sebaliknya jika PH menang, ia pasti diumumkan lewat malam.

“Kalau UMNO menang, pukul 8 malam dia dah umum, tapi kalau kita (PH) menang…lambat (umum), kalau pukul 12 tu dia belum umum…ada peluang, pukul 2 tak muncul lagi…semakin cerah, boleh memulakan perjalanan ke KLIA.

“Kalau pukul 5 pagi tak umum, itu pasti menang (PH),” katanya lagi.



Comments
Loading...