TRAGEDI MEMALI DAN KEPENTINGAN ANTIBERITA TIDAK BENAR


DARI SUDUT LAIN

Mengimbas kembali sejarah politik negara, membuatkan kita terfikir betapa perlunya negara kepada undang-undang antiberita tidak benar. Sebelum ini beberapa contoh telah disebutkan bagaimana besarnya kesan berita tidak benar tersebar. Mampu menggugat kestabilan sesebuah negeri seperti kepalsuan berita propaganda bagi menjayakan Langkah Kajang.

Namun satu peristiwa yang boleh dikatakan paling besar adalah Tragedi Memali tahun 1985. Peristiwa ini telah mengakibatkan korban nyawa seramai 14 orang, hingga menyebabkan negara waktu itu bagai dilanda taufan. Pihak istana terheret sekali apabila mencemar duli menziarahi kubur para syuhada Memali.

Peristiwa ini berlaku di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau amat terkenal dengan akta tahanan tanpa bicara ISA. Pemimpin PAS bernama Ustaz Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya adalah sasaran utama Tragedi Memali. Mahathir mahu Ibrahim Libya ditangkap dengan apa jua cara sekalipun.

Maklumat diterima oleh pasukan polis yang terlibat waktu itu bahawa di Memali masih terdapat saki-baki komunis yang mesti dihapuskan. Lalu dinamakan operasi tersebut sebagai Ops Memali. Sedangkan hakikatnya, tidak ada seorang pun daripada mangsa Memali yang ada kaitan dengan gerakan komunis.

Berita palsu ini pada mulanya ditularkan di kalangan pasukan polis. Setelah berlaku pembunuhan, siaran-siaran TV dan akhbar pro pemerintah waktu itu terus memainkan perbagai berita-berita palsu kononnya terdapat pengganas dan oenganut ajaran sesat yang merbahaya dan mesti dihapuskan.

Amat malang kerana waktu itu akses rakyat kepada maklumat sahih sangat terbatas. Internet masih belum popular seperti ini. Berhadapan dengan rakyat di pedalaman Baling pula, rata-ratanya tidak terdedah dengan maklumat perundangan bagi membela nasib mereka melalui saluran undang-undang. Tambahan pula, akta antiberita tidak benar masih belum wujud.

Bersesuaian dengan perkembangan semasa penyiaran dan akses maklumat tanpa sempadan hari ini, akta antiberita tidak benar sangat diperlukan. Mudah-mudahan akta ini boleh mengelakkan peristiwa seumpama Tragedi Memali berulang lagi. Dan tentu sekali ramai mangsa Memali mengharapkan orang yang bertanggungjawab menularkan berita palsu mengenai mereka dihadapkan ke muka pengadilan.

 



Comments
Loading...