Ku Li: Dendam hapus Umno, Dr M macam kena karma


(MMO) – Tengku Razaleigh Hamzah mengibaratkan Tun Dr Mahathir Mohamad “terkena hukum karma” kerana cuba menjatuhkan Umno tapi partinya pula dibubarkan.

“Apa saja perkara yang dilakukan Dr Mahathir dahulu, terjadi kepada beliau. Beliau berusaha mengharamkan Umno, tapi sekarang lihatlah apa terjadi kepada partinya.

“Dr Mahathir juga seolah-olah ahli nujum apabila sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Umno tidak akan kekal selepas tahun 2020.

“Tapi dengan tiba-tiba PPBM [Parti Pribumi Bersatu Malaysia] pula sekarang ‘mampus keras’ [tidak bernyawa],” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Wakil rakyat Gua Musang itu berucap dalam Majlis Himpunan Bersama Rakyat Parlimen Machang, di SMK Bandar Machang, di sini, hari ini.

Veteran Umno itu turut menganggap Dr Mahathir menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘bos’ susulan keputusan menggunakan simbol PKR dalam pilihan raya umum.

“Sekarang (Dr Mahathir) tiada parti dan terpaksa menumpang PKR. Impiannya mahu menjadi perdana menteri sementara adalah angan-angan saja,” katanya.

Pemimpin itu, yang mesra disapa Ku Li, menegaskan kekalahan Umno di Kelantan pada 1990 kerana rakyat marah kepada Dr Mahathir yang didakwanya “kuku besi”.

Malah tujuan beliau menubuhkan parti Semangat 46 untuk menghidupkan Umno lama kerana Dr Mahathir mengenakan pelbagai syarat dalam Umno baru.

 



Comments
Loading...