Mukhriz akui gagal selesai struktur cawangan


(Berita Harian) – Kegagalan menyelesaikan isu berkaitan struktur organisasi akar umbi khususnya di peringkat cawangan menjadi antara punca Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti.

Perkara itu diakui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang turut mengesahkan kegagalan menyelesaikan isu berkenaan turut meletakkan PPBM dalam situasi keliru untuk menentukan siapa yang layak menghadiri AGM terbabit.

Beliau juga mengakui PPBM mengguna pakai model sama seperti UMNO dalam struktur parti, namun berharap PPBM selaku parti baharu diberi kelonggaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dari segi pematuhan perlembagaan.

“Kita guna model UMNO sebenarnya, di mana kita tubuh parti peringkat nasional dan bahagian, manakala di cawangan kita guna istilah PDM (Pusat Daerah Mengundi). “Di peringkat nasional dah daftar dan proses di ROS kita kena daftar di bahagian pula…selepas satu-satu bahagian dah tubuh, maka kita kena maklum pada ROS siapa jawatankuasa dalam bahagian.

“Kalau kita buat AGM di peringkat bahagian siapa perwakilan sebab dalam UMNO perwakilannya di pilih oleh cawangan, sedangkan kita belum daftar lagi cawangan.

“Kalau ROS kata tak perlu (pemilihan peringkat cawangan) sebab itu hanya sekadar proses, kita akan teruskan AGM di peringkat bahagian dengan perwakilan ahli jawatankuasa bahagian sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kemungkinan PPBM tidak boleh menyertai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekiranya gagal mengadakan AGM dalam tempoh ditetapkan.

Mukhriz berkata, PPBM kini menunggu nombor pendaftaran bagi penubuhan peringkat cawangan daripada ROS dengan 155 bahagian daripada 165 kawasan Parlimen sudah didaftarkan.

Beliau berkata isu berkenaan sudah dirujuk kepada ROS dan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, dimaklumkan tiga jam bersama ROS untuk menjawab persoalan dibangkitkan.

“Saya yakin 99 peratus tak ada masalah, tetapi isu mengenai yang nak dibangkitkan ROS berkenaan cawangan dah ada berapa, saya tak pasti lagi.

“PPBM ketika ini menunggu keputusan ROS sama ada perlu menganjurkan AGM di peringkat cawangan terlebih dahulu sebelum disusuli peringkat bahagian,” katanya.

 



Comments
Loading...