SERTAI PILIHANRAYA, TIDAK MENJATUHKAN KERAJAAN MELALUI PINTU BELAKANG


KE ARAH POLITIK MALAYSIA YANG MATANG (SIRI 16)

DARI SUDUT LAIN

Tajuk artikel kali ini adalah meminjam istilah yang digunapakai oleh Dato Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ketika menyampaikan Syarahan Perdana di Cyberjaya 18 Mac yang lalu. Beliau ketika itu menjelaskan tentang pendirian GAGASAN SEJAHTERA dan PAS dalam menghadapi kemelut negara hari ini.

Walaupun GAGASAN bukanlah gabungan parti pemerintah, tetapi pendekatan mereka berbeza dengan identiti pembangkang yang tipikal. Mereka mempertegaskan bahawa akan menghormati mandat rakyat yang memberi kemenangan kepada sesebuah parti politik. Justeru kerajaan yang didirikan pasca pilihanraya perlu diiktiraf tidak kira oleh penyokong parti pemerintah mahupun pembangkang.

Pendirian ini menggambarkan sebuah kematangan dalam berpolitik. Ramai yang terlibat di dalam politik tidak dapat membezakan antara kerajaan dan parti pemerintah. Akibatnya pembangkang menentang jentera kerajaan seolah-olah semuanya adalah konco parti pemerintah. Segala dasar dan agenda kerajaan dibangkang atas sentimen politik. Seperti agenda pembangunan sesebuah kawasan ataupun agenda kebajikan seperti agihan bantuan dan sebagainya.

Parti pemerintah pula mempergunakan jentera kerajaan bagi menjalankan agenda-agenda kepartian mereka. Seperti memaksa penjawat untuk mengibar bendera parti pemerintah, atau melaksanakan program kempen pilihanraya di sektor-sektor awam, atau mengerah jentera kerajaan meramaikan program parti dan sebagainya.

Lontaran yang disampaikan oleh Presiden PAS mencapah minda politikus untuk melihat perspektif baharu dalam wacana politik. Individu dalam kerajaan adalah komponen pentadbir negara, manakala individu selain kerajaan adalah rakyat. Rakyat ini termasuklah anggota parti pembangkang dan individu yang tidak berparti. Kerajaan menggalas tanggungjawab menyediakan perkhidmatan sewajarnya untuk rakyat tanpa membezakan fahaman politik, begitu juga rakyat, perlu memberi kerjasama kepada kerajaan tanpa mengira ideologi kerajaan tersebut.

Dalam ucapan tersebut, Presiden PAS turut menyatakan bahawa PAS memiliki ahli dan penyokong dari kalangan pegawai kerajaan. Ini menunjukkan bukan semua penjawat awam adalah penyokong parti pemerintah. PAS dan GAGASAN dilihat amat terbuka dan faham realiti kerajaan dan parti pemerintah ini. Justeru sekiranya PAS dan GAGASAN ditakdirkan menerajui pemerintahan, tidak akan berlaku pegawai kerajaan dipecat beramai-ramai hanya kerana mereka penyokong UMNO atau DAP, dan menggantikan mereka dengan penyokong PAS. Sebaliknya Presiden PAS memberi komitmen bahawa pegawai kerajaan yang ada hari ini jugalah yang bakal menjalankan semua dasar-dasar yang telah digariskan oleh PAS dalam rangka memperbaiki masalah negara seandainya memerintah. Yang bertukar hanya ahli politik, namun pegawai kerajaan tetap di posisi mereka.

Menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang bermaksud tidak melalui proses demokrasi yang sepatutnya. Ini termasuklah dengan cara rusuhan dan penggulingan kuasa seperti Arab Spring atau lebih teruk menjemput tekanan politik daripada kuasa luar. Membeli wakil rakyat supaya lompat parti sehingga jatuh kerajaan di sesebuah negeri atau negara juga boleh dikategorikan sebagai cara pintu belakang. Ini kerana ia menggambarkan sikap tidak menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat melalui proses pilihanraya.

PAS dan GAGASAN berpegang dengan pendirian menyertai pilihanraya sebagai kaedah sebenar untuk menukar kerajaan yang lebih baik serta mengemukakan dasar dan amalan bernegara yang terbaik melalui manifesto dan tawaran pilihanraya. Presiden PAS turut menyatakan bahawa mereka berusaha untuk mengelakkan campurtangan asing dalam menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sosial negara, apatah lagi mengundang golongan yang mempunyai rekod jenayah antarabangsa, keras terhadap umat Islam, mencerobohan terhadap negara-negara lemah dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, Presiden PAS di akhir ucapannya tetap menyelitkan teguran buat kerajaan terutama berkenaan proses pilihanraya. Menurut beliau, Sistem Pilihanraya di Malaysia mesti di perbaiki proses demokrasinya dengan memberi peluang seimbang kepada semua parti-parti politik untuk berlawan secara sihat di padang yang sama rata atau meraihkan kemenangan. Masih ada ruang yang banyak untuk melakukan penambahbaikan seperti memberi peluang saksama untuk parti-parti politik berkempen dalam media kerajaan dan mewujudkan batas yang jelas peranan kerajaan peralihan atau care taker.

Ringkasan penekanan Presiden PAS berkenaan pendekatan parti tersebut dalam politik tanahair bersama blok GAGASAN adalah seperti berikut:

1. Menghormati mandat rakyat yang memberi kemenangan kepada sesebuah parti politik memerintah, dan tidak menumbangkan kerajaan melalui ‘cara pintu belakang’.

2. Menyertai pilihanraya sebagai kaedah sebenar untuk menukar kerajaan yang lebih baik serta mengemukakan dasar dan amalan bernegara yang terbaik melalui manifesto dan tawaran pilihanraya.

3. Menjadi pembangkang yang matang dan sejahtera, di mana menegur kerajaan dalam perkara yang tidak dipersetujui dengan memberi cadangan alternatif. Pada masa yang sama boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan rakyat dan umat manusia.

4. Mengelakkan campurtangan asing dalam menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sosial negara, apatah lagi mengundang golongan yang mempunyai rekod jenayah antarabangsa, keras terhadap umat Islam, mencerobohan terhadap negara-negara lemah dan sebagainya.

5. Menolak sekerasnya politik fitnah yang membinasakan keharmonian.

Rakaman penuh ucapan:




https://www.youtube.com/watch?v=PMCcaTFy4gU

 



Comments
Loading...