PRU14, kempen paling senang bagi BN


Timmy Say, FMT

Pembangkang hari ini tidak sekuat pembangkang yang ada pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Semangat untuk berubah di kalangan rakyat hari ini juga tidak sekuat semangat untuk berubah rakyat di PRU13. Kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) hari juga tidak setebal kebencian rakyat terhadap BN di PRU13.

Jadi di manakah kekuatan pembangkang Malaysia?

Kekuatan pembangkang Malaysia asalnya adalah pada isu 1MDB yang meletup di peringkat antarabangsa. Skandal yang tular di seluruh pelusuk dunia itu menyebabkan rakyat terasa malu lalu menyebabkan kebencian terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertambah. Isu 1MDB yang tular tiba-tiba bertukar menjadi serangan personaliti terhadap Najib.

Bukan itu sahaja, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor juga dijadikan sumber kekuatan politik pembangkang untuk membenci kerajaan BN.

BN dan Najib menghadapi kedua-dua serangan ini dengan tenang dan tidak gopah. Pukulan-pukulan terhadap isu 1MDB tidak dibalas dengan pukulan-pukulan deras, sebaliknya kesunyian.

Dengan melewatkan PRU14, BN dan Najib memberi nafas dan ruang untuk menyelesaikan 1MDB contohnya melalui rundingan di belakang takbir bersama IPIC.

Isu ini sengaja dibiarkan cukup lama untuk pembangkang menghabiskan peluru mereka.

Segala apa yang boleh digunakan untuk menghentam Najib telahpun digunakan, tapi Najib tidak jatuh. Maka, perkara itu diulang-ulang sehingga rakyat terasa mual dengan isu ini.

Akhirnya isu 1MDB mati begitu sahaja di mana hampir semua kajian bebas PRU14 hari ini menunjukkan bahawa isu 1MDB tidak akan mempengaruhi undi di PRU14, terutamanya di kawasan pedalaman.

Untuk mengelakkan pembangkang mengeksploitasi isteri PM sebagai senjata politik mereka, apakah anda dapat merasai bahawa Rosmah sudah tidak sekerap muncul di media melainkan perlu? Mengurangkan berita isteri PM adalah satu cara yang efektif agar rakyat dapat mengurangkan perhatian mereka terhadap Rosmah; maka secara automatiknya mengurangkan ruang untuk pembangkang mengambil kesempatan.

Pembangkang terkena umpan

Di sebalik 2 pertahanan ini, BN juga membuat serangan saraf provokasi terhadap pembangkang terutamanya Pakatan Harapan agar di dalamnya terus kucar-kacir.

Pertama, BN mengapi-apikan sentimen kononnya amat penting untuk pembangkang untuk menamakan calon PM mereka. Umpan ini terkena ikannya apabila Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM mereka yang menyebabkan PH bercakaran sesama sendiri dan kelihatan sebagai opportunis dan tidak berprinsip.

Pemilihan Dr Mahathir juga menyebabkan kempen supaya rakyat Malaysia merosakkan undi bertambah besar.

Apabila wujudnya keadaan bercakaran sesama sendiri maka akan terlahirnya golongan yang kecewa. Tiada senjata yang lebih mujarab terhadap pembangkang daripada serangan dalaman daripada golongan kecewa.

Serangan golongan yang kecewa ini terhadap parti sendiri jauh lebih mujarab daripada serangan BN terhadap musuhnya.

Apa yang perlu dilakukan BN ialah memperbesarkan serangan-serangan golongan kecewa terhadap parti dan PH lalu mengecapi hasilnya tanpa sebarang titik peluh.

Lihatlah saja apa yang terjadi pada PPBM. Serangan-serangan bekas pengasas parti terhadap PPBM ditularkan dan serangan-serangan golongan kecewa terhadap pembahagian kerusi pula diberikan tempat di muka-muka depan akhbar tempatan.

Selepas ini, akan timbul di dalam persoalan setiap ahli PPBM, yang majoritinya bekas ahli Umno – apakah mereka boleh hidup secara pembangkang sekiranya PH tewas? Apakah calon PPBM yang memenangi kerusi akan melompat parti sebaik sahaja mengetahui BN akan terus berkuasa di PRU14?

Dua strategi ini sudah cukup untuk merobohkan kesatuan di dalam pembangkang. Ini juga bakal menyebabkan parti komponen PH tidak akan mendapat undi yang sekata kerana akan berlakunya sabotaj dalaman di antara parti-parti komponen di PRU14 nanti.

Pendek kata, BN telah berjaya meneutralkan kekuatan pembangkang terutamanya PH menggunakan pendekatan-pendekatan saraf. Dengan pertandingan tiga penjuru yang berleluasa, PRU14 dijangka menjadi perang yang jauh lebih senang bagi Najib dan BN berbanding PRU13.

 



Comments
Loading...