Umno akan hantar memorandum bantah Statut Rom kepada Sultan Selangor


(FMT) – Umno Selangor akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor dalam masa terdekat untuk membantah tindakan Putrajaya menandatangani Statut Rom tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

Ketua Umno Selangor, Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan kerajaan persekutuan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan membelakangkan institusi raja.

“Statut Rom tidak ditandatangani selepas persetujuan Majlis Raja-raja, sebaliknya ditandatangani kerajaan tanpa perkenan raja.

“Jadi, kita akan hantar memorandum kepada sultan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di bangunan Umno Selangor, hari ini.

Pada 24 Mac lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia tidak boleh menerima beberapa syarat di bawah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Kita nak meratifikasi, tapi ada syarat tertentu yang mereka mahu lakukan di bawah Statut Rom yang kita tak boleh lakukan di sini.

“Kita tidak boleh menerima perkara lucu dalam Statut Rom, sama seperti negara lain membenarkan perkahwinan sejenis. Kami hanya boleh menerima perkara yang baik,” kata perdana menteri pada bulan lalu.

Sebelum itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan membidas Putrajaya melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana menandatangani Statut Rom yang akan menjejaskan hak orang Melayu, institusi diraja dan kesucian Islam di negara ini.

Ia selepas Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju menandatangani Statut Rom, selepas berpuas hati kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong kekal terpelihara.

 



Comments
Loading...