‘Kebanyakan universiti hanya kejar kedudukan, nama’ – Pensyarah Kanan NUS


Kebanyakan universiti di beberapa negara Islam, termasuk Malaysia seolah-olah sudah `hilang roh’ dalam melahirkan ilmuan terbilang berikutan hasil penyelidikan dan kajian menerusi penulisan yang diterbitkan mereka tidak lagi memberi impak kepada masyarakat.

(Berita Harian) – Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Prof Dr Syed Muhammad Khairudin Al-Junied, berkata ini kerana majoriti daripada pengurusan universiti berkenaan tidak lagi tertumpu kepada soal pembangunan dan pendidikan sepenuhnya, sebaliknya tersembunyi agenda berkepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

“Hubungan sosial universiti dalam kelompok masyarakat juga dilihat berkurangan rentetan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk dalam mengejar kedudukan dan nama dalam senarai institusi pengajian tinggi terbaik,” katanya.

Beliau ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk MADANI: Pendidikan Dalam Pembinaan Tamadun sempena Konvensyen MADANI Melaka 2024 di Hotel Ames, di sini hari ini.

Syed Muhammad Khairudin yang pernah tersenarai antara 500 individu Islam dunia paling berpengaruh itu, berkata perkara itu perlu ditangani secara lebih objektif memandangkan ilmu seharusnya dibebaskan daripada kepentingan tertentu sehingga menindas masyarakat.

Katanya, ia seiring dengan konsep MADANI yang diperkenalkan kerajaan ketika ini.

“Kerajaan perlu mengambil langkah pragmatik dalam membantu universiti tempatan kembali kepada kiblat’ asal sebagai institusi yang melahirkan masyarakat cendekiawan,” katanya.



Comments
Loading...