Pengundi muda tak mahu terikat mana-mana parti politik – Ilham Center


Kajian mendapati pengundi muda tidak berminat untuk menjadi sebahagian parti politik walaupun datang daripada keluarga aktivis.

(Berita Harian) – Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar berkata kebanyakan mereka berusia antara 17 hingga 21 tahun.

Kajian Ilham Center mendapati pengundi belia ini lebih suka bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Namun Hisomuddin berkata, walaupun tidak memihak kepada mana-mana parti politik, golongan itu lebih cenderung kepada isu politik yang dimainkan di media sosial termasuk menyentuh isu agama, bangsa dan royalti.

“Mereka ini lebih berminat dengan isu di media sosial terutamanya TikTok. Kita lihat dalam pilihan raya lalu isu yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) lebih dekat berbanding Pakatan Harapan (PH).

“Isu itu walaupun agak sensitif, ia lebih dekat dengan belia, disebabkan itu undi pergi kepada PN. Mereka mendapat manfaat daripada pengundi muda terutama Melayu.

“Tetapi itu tidak bermakna belia terbuka untuk menyertai mereka. Mereka tidak mahu ‘diikat’,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal.

Tambahnya, ketika ditanya mengenai sebab utama mereka berbuat demikian, pihaknya tidak menerima sebarang jawapan kukuh.

Mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun dapat mengundi berikutan pelaksanaan Undi18, yang menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun.

Setakat ini, ada seramai 1,393,549 pengundi daripada kumpulan umur ini dalam daftar pemilih.



Comments
Loading...