Titah Adendum: Tengku Zafrul enggan dedah kesilapan afidavit difailkan Zahid


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz enggan mendedahkan kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit difailkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

(Berita Harian) – “Seperti yang saya sebut dalam kenyataan akhbar, apa yang saya dah sebut tu ada dalam kenyataan akhbar… jadi saya tak ada komen lagilah.

“Jadi tiada apa-apa lagi yang mahu saya katakan selain daripada apa yang telah saya nyatakan dalam kenyataan akhbar dua hari lalu,” katanya ketika ditemui selepas majlis permulaan pembinaan kilang baharu Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd di sini, hari ini.

Kelmarin dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook, Tengku Zafrul memaklumkan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi memfailkan afidavit membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit difailkan Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum itu.

Ditanya bila beliau akan mengemukakan afidavit tambahan seperti dinyatakan, Tengku Zafrul juga enggan mengulas lanjut.

Mengenai afidavit difailkan Ahmad Zahid yang turut mengaitkan namanya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata beliau sudah mengambil langkah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung perkara berkaitan.

“Saya ingin menyatakan secara rasmi bahawa pada hari ini saya sudah melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Najib di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024.

“Sehubungan itu, saya mengambil langkah untuk mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit saya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan.

“Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya,” katanya

Terdahulu, menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 oleh Tengku Zafrul, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO itu di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Titah Adendum itu supaya Najib yang juga bekas Perdana Menteri menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya, yang diambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).



Comments
Loading...