Isu buang beras, sardin Semuanya sudah rosak, busuk – bekas Ahli Parlimen Kuala Krau


Puluhan kampit beras, tin sardin, tepung dan barang makanan lain yang ditemukan dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum dekat sini, petang semalam adalah stok lama yang sudah rosak.

(Harian Metro) – Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pembuangan barangan bahan makanan itu.

“Beras dan barangan dapur itu adalah stok simpanan yang disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika saya menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.

“Barangan itu disediakan menggunakan peruntukan peribadi saya sebelum tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 2022 dan dimaklumkan tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan,” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Krau.

Katanya, pada 5 April 2024, beliau menerima aduan daripada jiran terdapat bau busuk di stor simpanan barangan berkenaan.

“Selepas diselidik di stor berkenaan terdapat bangkai tikus dan beras serta barangan dapur telah dicemari bubuk beras.

“Sebahagian daripada beras ini diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar dan sebahagian dilupuskan,” katanya.

Katanya, beliau bertanggungjawab penuh dan sangat menyesali perkara ini serta dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur itu.

Katanya, beliau mengambil maklum dan terima kasih atas keprihatinan serta sensitiviti rakyat Malaysia terhadap isu yang tular berkaitan pelupusan beras dan barang dapur di tempat pembuangan sampah itu.

Terdahulu, tular di media sosial gambar puluhan kampit besar dibuang dan dibakar di tapak pembuangan sampah bersama tin sardin dan tepung gandum yang mengundang pelbagai reaksi warga net.

Sementara itu, seorang penduduk, Roslan Awang Mohamad, berkata dia terkejut melihat banyak kampit beras, tepung, gula, sardin, kotak dan bungkusan teh uncang, susu, biskut dan lain-lain dibuang di tempat buang sampah itu kira-kira jam 3 petang semalam.

“Ketika itu sudah ramai penduduk yang datang untuk mengambil bahan makanan yang masih boleh digunakan,” katanya ketika ditemui pagi di tempat kejadian pagi ini.

Roslan yang juga imam Masjid Rumpun Makmur berkata, dia dimaklumkan ada pihak sudah menimbus kawasan pembuangan itu dengan tanah dan dipercayai dilakukan pagi tadi.



Comments
Loading...