Mukhriz sahkan Mahathir kini disiasat SPRM


(MyKMU) – Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir hari ini mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat bapanya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, agensi antirasuah itu menghantar notis, yang ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, kepada abang-abangnya, Mokhzani dan Mirzan, menyatakan perkara itu.

“Saya melihat notis yang ditandatangani sendiri oleh Azam kepada Mirzan dan Mokhzani,” katanya dalam video yang dimuat naik Malaya Daily di YouTube.

“Di awal notis itu menyebut bahawa siasatan dikenakan ke atas Mahathir, kemudian kedua-dua abang saya ini diarahkan membuat pengisytiharan harta untuk membantu siasatan itu.

Mukhriz turut berkata, keluarganya berasa hairan mengapa Mokhzani dan Mirzan turut disiasat, sedangkan sasaran utama siasatan ialah Mahathir.

“Memang dari awal, kami rasa agak pelik (apabila) siasatan (dimulakan) ke atas seseorang itu, kononnya disyaki menyalahgunakan kuasa – kita pun belum pasti (sebabnya) kerana tidak diberikan butiran terperinci – tetapi yang disiasat ialah anak kepada orang yang didakwa (melakukan kesalahan) itu.”

Pada Januari lepas, SPRM dilapor mengarahkan Mokhzani dan Mirzan mengisytiharkan harta mereka sejak 1981, ketika Mahathir mula-mula dilantik menjadi perdana menteri.

Arahan itu adalah sebahagian daripada siasatan berhubung rekod perniagaan luar pesisir yang didedahkan oleh sebuah konsortium wartawan, kata SPRM pada masa itu, tanpa menyebut sasaran utamanya ialah Mahathir.

Mokhzani turut mengesahkan kepada Bloomberg dalam satu temu bual yang dilaporkan minggu lepas bahawa bapanya ialah suspek utama siasatan SPRM.

 



Comments
Loading...