‘Ingat YB, hukuman kali ini akan berat.. pasti’


Tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berdepan risiko untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, sekali gus berdepan dengan hukuman berat.

(Harian Metro) – Mereka masing-masing ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

Amaran itu dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul susulan kenyataan Wan Saiful yang mendakwa Zulkafperi dan Mohd Azizi membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan kepada kerajaan.

Johari berkata, beliau juga boleh menubuhkan satu jawatankuasa baharu di bawah Peraturan 80 (A) bagi membuat keputusan dalam menilai dakwaan yang dibuat.

“Saya ada dua pilihan. Terus hadapkan (ketiga-tiga) YB ke Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat atau saya boleh tubuhkan jawatankuasa dalam kalangan ahli dewan ini. Jadi, ingat YB, hukuman kali ini akan berat, pasti.

“Ini kerana sudah berkali-kali saya memberi amaran dan ingatan agar semua isu politik mesti dibahaskan, didebat dan dipertarungkan di pentas luar, bukan di dewan ini.

“Saya juga sudah maklumkan, jangan gunakan masa kita di sini untuk main politik dan kepartian. Masa dewan yang mulia ini hendaklah kita gunakan untuk bincang, bahas dan berunding isu negara dan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sebarang keputusan akan dibuat dalam tempoh sidang Parlimen yang berbaki tiga hari lagi.

Katanya, beliau juga sudah menulis surat kepada Wan Saiful bagi mendapatkan fakta beserta dengan bukti seperti yang didakwa.

“Selepas itu, saya akan panggil YB Gua Musang dan Tanjong Karang untuk tindakan selanjutnya. Jika didapati Tanjong Karang dan Gua Musang bersalah, kedua-duanya akan dihadapkan ke jawatankuasa,” katanya.



Comments
Loading...