Badan Peguam akan cabar hukuman Najib diringankan di mahkamah


(Malaysiakini) – Badan Peguam Malaysia akan memfailkan cabaran undang-undang di mahkamah terhadap keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan separuh hukuman bekas perdana menteri Najib Razak atas sabitan rasuah SRC International.

Presiden Badan Peguam yang baru, Ezri Abdul Wahab berkata usul mengenai perkara itu telah diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-78 hari ini selepas menerima undi majoriti.

Resolusi itu difailkan oleh bekas presiden Badan Peguam Zainur Zakaria dan disokong oleh seorang lagi bekas presidennya Yeo Yang Poh.

Pada Februari, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib kepada enam tahun dan mengurangkan denda asal RM210 juta kepada RM50 juta – iaitu sebanyak 76 peratus.

Keputusan Lembaga Pengampunan itu bermakna tarikh rasmi pembebasan bekas ahli parlimen Pekan itu telah dipercepat ke Ogos 2028.

Bagaimanapun, Najib, 70 tahun boleh dibebaskan lebih awal atas “kelakuan baik” pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga dari tempoh hukuman penjaranya.

Bekas perdana menteri itu dipenjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman dan sabitan terhadap kes SRC International pada Ogos 2022.

Dia juga sedang dibicarakan untuk kes lain berkaitan skandal penyelewengan dana 1MDB.

 



Comments
Loading...